BERITA SEMASA

KBS tidak akan lulus HYROX KL selagi tajaan syarikat minuman beralkohol tidak ditarik balik- Menteri

PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan penganjuran acara HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi tajaan syarikat minuman beralkohol yang diumumkan sebagai rakan rasmi acara itu tidak ditarik balik sepenuhnya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pendirian itu diambil susulan penularan tangkap layar pengumuman sebuah syarikat minuman beralkohol sebagai Official Beer Partner bagi acara berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 10 hingga 13 Disember ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

“Perkara 5.2 Kod Sukan Selamat (Edisi Ketiga, 2024) menyatakan dengan jelas bahawa mana-mana individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan berkaitan produk tembakau, rokok elektronik atau minuman beralkohol tidak dibenarkan menganjur, menaja, mempromosi, mengiklan, menjual atau meletakkan cap dagangan dalam apa-apa penganjuran aktiviti sukan yang diluluskan atau disokong KBS dan agensinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan KBS mensyaratkan semua logo, cap dagangan dan bahan promosi berkaitan syarikat minuman beralkohol berkenaan dikeluarkan sepenuhnya daripada semua saluran rasmi acara serta venue pertandingan sebelum kelulusan boleh dipertimbangkan.

Tambah beliau, semua permohonan lesen oleh syarikat yang ingin menganjurkan acara sukan turut melibatkan pengisytiharan komitmen penganjur terhadap pelaksanaan Kod Sukan Selamat.

Dalam pada itu katanya, KBS mengingatkan bahawa Seksyen 36(1) Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] menetapkan sesebuah syarikat tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti sukan melainkan dilesenkan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Katanya, kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM500,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada masa sama katanya, KBS turut menegaskan peraturan itu terpakai kepada semua penganjur tanpa pengecualian, termasuk syarikat tembakau, rokok elektronik dan minuman beralkohol tanpa mengira jenama atau sasaran pengiklanan.

“KBS tidak akan berkompromi dalam memastikan persekitaran sukan yang selamat dan sihat untuk semua peserta,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button