Jangan jadikan agama senjata politik – Mustapha
KOTA KINABALU – Parti politik diingatkan supaya tidak memperalatkan sentimen agama sebagai senjata untuk menyerang atau mempertikaikan strategi politik pihak lawan, khususnya dalam perbahasan berkaitan instrumen demokrasi berparlimen.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) boleh dibahaskan secara rasional tanpa perlu mengaitkannya dengan istilah keagamaan atau watak akhir zaman.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyamakan pendekatan CSA dengan watak “Dajal”.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu melahirkan rasa kesal terhadap penggunaan label sedemikian kerana ia boleh mengelirukan umat Islam, khususnya di Sabah.
“Apakah apabila hujah politik tidak lagi mencukupi, istilah akhir zaman pula perlu dijadikan senjata?
“CSA boleh dibahaskan secara rasional dalam kerangka demokrasi berparlimen tanpa perlu mengheret sentimen agama untuk memburukkan pihak yang berbeza pandangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa pendekatan CSA pernah dilaksanakan ketika PAS berada dalam barisan Kerajaan Persekutuan, sekali gus mempersoalkan kewajaran instrumen berkenaan dilabel secara negatif.
Menurut Mustapha, kepelbagaian agama, bangsa dan latar belakang budaya sejak sekian lama menjadi tonggak perpaduan masyarakat majmuk di Sabah, bukannya alasan untuk mencetuskan permusuhan.
“Bagi rakyat Sabah, budaya melabel sesama Muslim dengan gambaran seburuk itu hanya kerana berbeza pendirian politik amat janggal dan sukar diterima.
“Agama sepatutnya menyatukan, bukan memecah-belahkan, dan Sabah tidak perlu diajar tentang perpaduan oleh mereka yang masih gemar melabel sesama sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah supaya terus mempertahankan keharmonian sedia ada serta menolak politik sempit yang mengeksploitasi agama demi kepentingan kuasa.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu mencari titik kebersamaan bagi memelihara perpaduan dan kesejahteraan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














