Pindaan undang-undang anak wajib beri nafkah ibu bapa uzur dijangka dibentang Mac 2026
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan pindaan undang-undang terperinci berhubung nafkah ibu bapa dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.
Menurut Mohd Na’im, langkah itu bagi memastikan kewajiban anak menanggung nafkah ibu bapa uzur dapat dilaksanakan dengan berkesan menjelang Malaysia status negara tua 2030.
Beliau berkata, advokasi berkaitan juga akan diteruskan sementara menunggu pindaan terhadap undang-undang Mahkamah Syariah serta Undang-Undang Keluarga Islam dimuktamadkan.
“Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang membuat pindaan undang-undang baharu Undang-undang Mahkamah Syariah dengan memasukkan punca kuasa jelas dan khusus berkaitan nafkah serta jagaan ibu bapa dalam undang-undang itu.
“Usaha ini bertujuan memastikan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa menangani tuntutan membabitkan kebajikan ibu bapa yang uzur atau tidak berupaya dengan lebih berkesan.
“Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) juga sedang melaksanakan semakan menyeluruh terhadap Undang-Undang Keluarga Islam 1984 termasuk menilai keperluan memperincikan peruntukan berkaitan nafkah ibu bapa supaya lebih selari dan responsif kepada keperluan masyarakat serta realiti semasa masyarakat Islam di negara ini,” katanya menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading)
pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT)di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Aminolhuda bertanya mengenai langkah kerajaan dalam menambahbaik peruntukan undang-undang keluarga Islam sedia ada bagi mewajibkan nafkah ibu bapa seperti dituntut hukum syarak khususnya apabila ibu bapa berada dalam keadaan uzur, tidak berpendapatan atau tidak mampu menyara diri sendiri.
Mohd Na’im berkata, semakan itu bagi membolehkan kerajaan menilai secara lebih menyeluruh sama ada peruntukan sedia ada sudah memadai atau terdapat keperluan untuk penelitian lanjut terhadap aspek berkaitan nafkah ibu bapa dalam undang-undang keluarga Islam.
“Pada masa ini, penyediaan draft undang-undang itu sedang digerakkan secara aktif melalui proses penelitian perundangan dan membabitkan libat urus bersama pihak berkepentingan serta semakan teknikal bagi memastikan penggubalan itu benar-benar menepati keperluan masyarakat dan prinsip hukum syarak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








