AGAMABERITA SEMASA

MTHQA ke-65 tampil kelainan, cipta rekod bacaan al-Quran terpanjang

KUALA LUMPUR – Satu inisiatif unik akan mewarnai penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 tahun ini apabila percubaan mencipta rekod Bacaan al-Quran Terpanjang dari KL Sentral ke Hatyai bakal dilaksanakan buat julung kalinya.

Perjalanan sejauh ratusan kilometer itu akan melibatkan bacaan ayat suci al-Quran tanpa henti dari KL Sentral ke Padang Besar menggunakan perkhidmatan ETS Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sebelum disambung ke Hatyai, Thailand, dengan tren Kereta Api Negara Thailand (SRT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, inisiatif ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila direkodkan dalam Malaysia Book of Records sebagai bacaan al-Quran terpanjang dalam kereta api rentas sempadan antarabangsa.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa dakwah tidak hanya terikat pada mimbar atau dewan, malah boleh disampaikan di mana-mana sahaja dengan pendekatan yang segar, bermakna dan penuh nilai.

“Ia membuka lembaran baharu dalam penyampaian syiar Islam melalui gabungan teknologi, logistik dan kreativiti,” katanya ketika merasmikan prapelancaran MTHQA ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini.

Baca juga : MTHQA ke-65 angkat tema “Membangun Ummah MADANI” selaras aspirasi negara

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar pelaksanaan inisiatif itu tidak mengganggu penumpang lain, terutamanya mereka yang bukan beragama Islam, kerana suasana dalam kereta api merupakan ruang awam yang perlu dijaga sensitiviti semua pihak.

Mengulas mengenai penganjuran MTHQA ke-65 yang akan berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos depan di WTCKL, Mohd Na’im berkata, seramai 72 peserta dari 50 negara akan mengambil bahagian dalam dua kategori utama iaitu Tilawah dan Hafazan al-Quran 30 Juzuk.

Beliau berkata, tema tahun ini, “Membangun Ummah MADANI”, dipilih selaras dengan aspirasi kerajaan dalam membina sebuah masyarakat yang bertamadun berlandaskan nilai-nilai al-Quran.

Hadiah wang tunai yang lumayan turut menanti para peserta, dengan johan bagi kedua-dua kategori membawa pulang RM40,000, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima RM30,000 dan RM20,000.

Bagi menjamin mutu pertandingan yang bertaraf antarabangsa, seramai 16 hakim dari dalam dan luar negara termasuk dari Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Indonesia akan mengadili majlis berprestij itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button