United Seasons raih pengiktirafan MBOR, pasang lembaran bumbung terpanjang di Malaysia
KUALA LUMPUR – Syarikat peneraju penyelesaian bumbung logam dan pelapisan dinding negara, United Seasons Sdn Bhd (UniSon) mencatat sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan memasang lembaran bumbung sepanjang 166.49 meter.
Pencapaian itu direkodkan menerusi pemasangan Sistem Bumbung Jahitan Tegak KAWA KZ400 di YLL Supply Chain Hub, sebuah hab logistik dan rantaian bekalan berteknologi tinggi yang terletak di Rawang, Selangor.
Pengiktirafan rasmi tersebut disampaikan oleh MBOR kepada UniSon hari ini sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam industri pembinaan negara, khususnya dalam aspek kejuruteraan bumbung logam berskala besar.

Majlis pensijilan itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan UniSon, SMP Dhanabalan bersama barisan pengurusan syarikat serta rakan kongsi industri utama yang turut meraikan kejayaan hasil usaha kolektif semua pihak terlibat.
Menurut Dhanabalan, pengiktirafan itu bukan sahaja mencerminkan kejayaan UniSon malah turut mengangkat keupayaan industri pembinaan tempatan ke tahap yang lebih tinggi.
“Pencapaian ini diiktiraf oleh MBOR dan ia menandakan kejayaan bukan sahaja untuk UniSon tetapi juga untuk Malaysia, rakan kongsi kami serta pelanggan kami dalam pembangunan teknologi bumbung bangunan,” katanya.
Beliau berkata, UniSon merupakan syarikat tempatan pertama yang memperkenalkan teknologi bumbung moden KaWa R650 Lockseam yang direka bagi menangani cabaran kemasukan angin kencang dan air hujan pada bahagian sambungan sisi.
“Dengan teknologi pemasangan tersembunyi, setiap sambungan sisi dikunci dan dijahit menggunakan penyambung robotik sekali gus meningkatkan ketahanan terhadap angin kuat dan ribut hujan,” katanya.
Sistem KAWA KZ400 yang digunakan dalam projek ini dihasilkan daripada keluli COLORBOND® oleh NS BlueScope Malaysia, bahan premium yang direka untuk prestasi jangka panjang serta ketahanan tinggi.

Dhanabalan turut menjelaskan bahawa selain mencipta rekod panjang, projek itu juga menonjolkan kaedah pemasangan inovatif apabila lembaran bumbung dibentuk secara gulungan terus di aras bumbung sekali gus meningkatkan ketepatan, kecekapan dan kualiti pemasangan di samping mengurangkan risiko kerosakan.
“Pendekatan ini mencerminkan keupayaan teknikal yang kukuh serta kerjasama erat semua pihak di sebalik kejayaan projek ini,” katanya.
Sehingga kini, lebih 450 juta kaki persegi produk KaWa telah dipasang di seluruh negara, merangkumi pelbagai jenis bahan termasuk ZINCALUME® yang disalut dengan COLORBOND®, VERMOE® dan PRIMA MAJU® selain aluminium, kuprum, keluli tahan karat serta titanium.
Sementara itu, Presiden NS BlueScope Malaysia, Sahattaya Thongpreecha berkata, pihaknya berbangga dapat menyokong pencapaian tersebut menerusi pembekalan keluli COLORBOND®.
“Kami amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh UniSon. Pencapaian ini mencerminkan kekuatan kerjasama dan komitmen bersama dalam menyediakan penyelesaian yang tahan lama dan berkualiti tinggi,” katanya.
Pengarah Eksekutif UniSon, Mahendra Kumar pula menyifatkan pengiktirafan itu sebagai detik membanggakan bukan sahaja untuk syarikat, malah untuk semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.

“Kehadiran MBOR bagi mengesahkan pencapaian ini memberikan pengiktirafan rasmi kepada segala usaha dan kerja keras yang dilakukan sehingga ia diangkat sebagai rekod kebangsaan,” katanya.
YLL Supply Chain Hub yang menjadi lokasi pemasangan direka khusus bagi menyokong operasi logistik berkapasiti tinggi dengan keperluan struktur bumbung yang tahan lasak dan cekap operasi.
Projek tersebut turut melibatkan kerjasama erat pelbagai rakan industri termasuk Akitek Akiprima Sdn Bhd, CK Building Solutions Sdn Bhd, WBL Perunding Sdn Bhd, JQS International Sdn Bhd dan HL Roofing Sdn Bhd yang memainkan peranan penting dari peringkat reka bentuk hingga pelaksanaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








