Havoc Food Festival cipta rekod MBOR
KANGAR – Havoc Food Festival (HFF) melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Festival Makanan Terbesar Jelajah Malaysia’ selepas berjaya menjelajah ke semua 14 negeri seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn. Bhd., Datuk Firdaus Nadxaman menyifatkan pengiktirafan itu sebagai simbol kejayaan bersama seluruh pasukan, rakan kerjasama dan rakyat Malaysia.

“Kejayaan ini adalah hasil dedikasi seluruh pasukan Havoc, vendor, artis, pihak berkuasa tempatan, rakan kerjasama dan jutaan pengunjung yang hadir di setiap lokasi.
“Dari Johor hingga Sabah, dari Sarawak hingga Perlis, HFF bukan sekadar tentang makanan tetapi ia juga tentang komuniti, kebersamaan dan meraikan kepelbagaian rasa Malaysia.
“Pengiktirafan ini membuktikan kekayaan budaya kulinari negara dan kami berbangga menjadi pemacu utamanya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Perlis menjadi destinasi penutup siri jelajah penuh warna-warni itu, dengan majlis penganugerahan berlangsung meriah di Dataran D, Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra tepat pukul 9 malam pada Sabtu lalu.
Majlis penuh makna itu disaksikan oleh ribuan pengunjung yang hadir bagi meraikan pencapaian tersebut.
Sepanjang siri jelajahnya, HFF telah menarik lebih 18 juta pengunjung dari seluruh negara, menghimpunkan lebih 300 usahawan dan selebriti F&B daripada pelbagai latar belakang.

Festival itu turut mempersembahkan hidangan warisan setiap negeri, di samping mengetengahkan menu-menu viral terkini yang menjadi tarikan utama pengunjung.
Lebih daripada sekadar pesta makanan, HFF telah menjadi platform berimpak tinggi untuk para usahawan mempromosikan jenama, meningkatkan jualan dan mengembangkan rangkaian perniagaan.
Kejayaan penganjuran itu turut memberi impak positif terhadap ekonomi setempat dan merancakkan sektor pelancongan, seiring dengan usaha menyokong agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bertujuan menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.
Pengiktirafan itu juga memberi penghargaan kepada penaja rasmi, Perfume Paradise, atas komitmen dan sokongan padu sepanjang siri jelajah.
Dengan catatan bersejarah itu, HFF bukan sahaja menetapkan penanda aras baharu bagi penganjuran festival makanan berskala mega di Malaysia, malah menjadi inspirasi kepada penganjur lain untuk terus mengangkat industri kulinari tempatan ke peringkat antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








