BERITA SEMASADALAM NEGERI

Orkestra terbesar Malaysia: FELDA cipta detik bersejarah di MIFBOF 2025

BANGI – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) melakar sejarah baharu apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori ‘Persembahan Orkestra Simfoni Terbesar’ negara.

Program itu melibatkan seramai 735 pemuzik yang beraksi serentak dalam satu persembahan berskala besar sempena penutupan Malaysia International FELDA Band & Orchestra Festival (MIFBOF) 2025 di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi semalam.

Seramai 735 pemuzik beraksi serentak dalam satu persembahan berskala besar pada festival tersebut.

FELDA dalam kenyataan medianya menyifatkan kejayaan itu sebagai lambang komitmen berterusan agensi tersebut dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik akademik tetapi turut menyerlah dalam bidang kesenian dan kebudayaan.

“Kejayaan ini menjadi bukti bahawa FELDA bukan hanya tentang tanah dan ekonomi, tetapi juga tentang pembangunan holistik generasi muda.

“Kami percaya muzik mampu menyatukan jiwa dan membentuk sahsiah unggul dalam kalangan pelajar,” menurut kenyataan itu.

Penganugerahan itu disampaikan oleh wakil rasmi MBOR, Megat Faris Hussein Megat Muzaffar Shah sekali gus menjadikan FELDA sebagai agensi kerajaan pertama berjaya menganjurkan acara seni muzik orkestra terbesar pernah direkodkan di negara ini.

Para pemenang bergambar bersama hadiah masing-masing.

Kemuncak festival itu juga menyaksikan paduan 14 pasukan orkestra menyampaikan lagu warisan ‘“Wau Bulan’ secara harmoni dalam satu persembahan istimewa yang membawa mesej perpaduan dan semangat kebangsaan.

Gabungan tenaga muda ini bukan sahaja menunjukkan bakat luar biasa pelajar dalam bidang muzik, malah mencerminkan kemampuan mereka beraksi dalam kesatuan dan disiplin tinggi.

MIFBOF 2025 berlangsung selama dua hari dengan penyertaan lebih 1,200 pemuzik daripada 19 pasukan orkestra sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara.

Felda Orkestra
Sebahagian pemain orkestra yang mengambil bahagian dalam festival ini.

Festival itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Malaysia Association of Marching Arts (MAMA) dan dimeriahkan dengan kehadiran delegasi antarabangsa dari Thailand dan Filipina.

FELDA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan MIFBOF 2025, khususnya rakan strategik U Mobile serta FGV Holdings Berhad, Sustainable Future Sdn Bhd, Seri Pacific Corporation Sdn Bhd, MITEC, Yayasan FELDA, FELKOP, KPF, KGFB, Koguna dan Hotel Tenera.

“Kejayaan mencipta rekod kebangsaan ini bukan sahaja membanggakan, malah menjadi inspirasi kepada anak-anak muda bahawa impian besar mampu direalisasikan melalui disiplin, kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button