BERITA SEMASA

Dr Azman bidas FELDA guna peneroka sebagai ‘perisai manusia’

KUALA LUMPUR – EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr Azman Ibrahim membidas FELDA yang menggunakan taktik meletakkan peneroka sebagai ‘perisai manusia’ dalam isu ladang FGV.

Beliau berkata, ini kerana tanah ladang komersial FGV tidak diwartakan mengikut Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 (Akta GSA).

“Kenapa pengurusan FELDA mahu menarik sekali peneroka dalam krisis ciptaan mereka sendiri. Peneroka tidak terbabit dan tidak bersalah sedikit pun.

“Ini tidak ‘gentleman’. Kamu guna taktik letak peneroka sebagai perisai manusia,” katanya dalam kenyataan dimuat naik dalam Facebooknya, hari ini.

Pada Ahad lalu, Kerajaan Terengganu akan mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di negeri itu.

Azman dalam laporan media berkata, tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu.

Katanya, kerajaan negeri sudah memberi tempoh secukupnya iaitu 40 hari seperti dipersetujui hasil perbincangan bersama dengan pengurusan FELDA, termasuk menghantar surat peringatan terakhir ditandatangani Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang ditujukan kepada Pengurus Besar FELDA, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, FELDA dan FGV Holdings Berhad (FGV) dalam kenyataan bersama dilaporkan berkata, notis amaran dikeluarkan kerajaan Terengganu berkaitan ladangnya tidak memberi kesan kepada operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di FELDA Wilayah Terengganu, malah menyatakan peneroka boleh meneruskan aktiviti sara hidup masing-masing seperti biasa.

Mengulas lanjut, Azman berkata, situasi itu berbeza kerana tanah rancangan FELDA yang mempunyai peneroka dengan hampir keseluruhannya sudah diberikan geran hak milik sah kepada peneroka terbabit.

Katanya, fakta menunjukkan kerajaan negeri pimpinan PAS adalah yang paling serius menangani isu pemilikan tanah peneroka FELDA.

“Sebagai contoh, FELDA Selasih yang dibuka pada awal 1980-an berjaya menyelesaikan pemberian geran hak milik kepada peneroka pada 2003, ketika Terengganu ditadbir PAS.

“Pada 2022, juga di bawah pentadbiran PAS, kita sekali lagi berjaya menyelesaikan pemberian geran hak milik tapak rumah kepada generasi kedua FELDA Selasih. Ini rekod yang berbicara sendiri,” katanya.

Dr Azman berkata, apabila geran hak milik dikeluarkan, ia bermakna peneroka sudah membayar premium tanah dan cukai tanah, bukannya FELDA.

Justeru, katanya, perkara itu tidak berbangkit dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu ladang komersial FGV yang sedang diperjuangkan kerajaan negeri memandangkan tanah ladang FGV tidak diwartakan mengikut Akta GSA.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button