Felda, FGV sambut baik kerjasama kerajaan Terengganu dalam isu tanah
KUALA LUMPUR — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan FGV Holdings Berhad menzahirkan penghargaan atas sikap konstruktif serta kerjasama erat yang ditunjukkan Kerajaan Negeri Terengganu dalam rundingan berhubung tanah-tanah yang diusahakan agensi itu.
Menurut kenyataan bersama hari ini, keputusan kerajaan negeri melanjutkan tempoh remedi sehingga pukul 7 Januari 2026 mencerminkan komitmen bersama untuk mencapai penyelesaian yang adil, profesional dan terbuka bagi semua pihak berkaitan.
Hasil persetujuan yang dicapai melalui siri perbincangan positif itu membolehkan operasi ladang FGV disambung semula mulai hari ini, sekali gus meredakan kebimbangan para peneroka yang berdepan ketidakpastian sejak beberapa minggu lalu.
“Perkembangan ini memberi kelegaan besar kepada peneroka yang bimbang tentang pendapatan, masa depan keluarga serta kelangsungan hidup mereka,” menurut kenyataan FELDA dan FGV.
Kedua-dua organisasi menegaskan bahawa kebajikan, keselamatan ekonomi dan ketenteraman emosi peneroka terutamanya anak jati Terengganu kekal menjadi keutamaan dalam setiap langkah yang diambil.
Katanya, dengan penarikan semula notis oleh kerajaan negeri, FELDA dan FGV kini dapat menumpukan semula usaha kepada peningkatan hasil ladang, pengukuhan pendapatan peneroka dan pembangunan komuniti di tanah rancangan.
FELDA dan FGV turut berterima kasih atas keterbukaan Kerajaan Negeri Terengganu dalam meneruskan perbincangan secara profesional, sambil menyifatkan kerjasama itu penting bagi memastikan kesejahteraan peneroka yang menjadi nadi dan tunjang FELDA sejak penubuhannya terjamin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















