BERITA SEMASA

KPF catat pencapaian kukuh, selesaikan permohonan syer secara berfasa

29,000 permohonan syer diurus, pelan rasionalisasi beri hasil positif

KUALA LUMPUR – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi koperasi yang berdaya tahan dan berwibawa apabila mencatatkan prestasi yang semakin memberangsangkan.

Pengerusi KPF, Datuk Mohd Banuri Aris, berkata pencapaian itu didorong oleh pelaksanaan pelan rasionalisasi yang berfokus serta komitmen tinggi terhadap tadbir urus yang cekap.

Beliau berkata, usaha menyeluruh yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu kini mula menunjukkan hasil yang positif, sejajar dengan aspirasi untuk mengembalikan semula keyakinan anggota dan memperkukuh kedudukan kewangan koperasi.

“Kami optimis bahawa pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat, serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF,” ujar beliau dalam sidang media khas hari ini.

Menurut Mohd Banuri, mengambil pendekatan holistik, KPF melaksanakan pelan rasionalisasi aset pelaburan yang berteraskan kepada tiga langkah utama, iaitu penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat tahun ini.

Selain itu, KPF juga telah melupuskan
hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan dan menstrukturkan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.

Beliau berkata, langkah itu bukan sahaja bertujuan untuk menjana semula aliran tunai tetapi juga membuka laluan kepada model perniagaan yang lebih lestari serta berdaya saing dalam jangka panjang.

“Tumpuan kami bukan sekadar menyelesaikan isu semasa, tetapi membina masa depan yang lebih cerah untuk anggota,” jelasnya.

Baca juga : Koperasi FELDA perlu manfaatkan ekosistem RM120 bilion

Keutamaan kepada kebajikan anggota: Pengeluaran syer diurus secara berfasa

Walaupun berdepan permintaan tinggi terhadap pengeluaran syer, Mohd Banuri berkata, KPF tetap komited dalam memenuhi tanggungjawabnya kepada anggota.

Katanya, bagi tempoh tahun 2022 hingga April 2025, pihaknya telah menerima sejumlah 29,159 permohonan pengeluaran syer dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18,783 permohonan melibatkan nilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar kepada anggota mencerminkan kesungguhan KPF dalam menunaikan amanah secara bertanggungjawab.

“Permohonan yang masih dalam proses, melibatkan RM372.13 juta melibatkan 10,376 permohonan, akan terus diselesaikan secara berfasa dan penggiliran, dengan keutamaan diberikan kepada kes kritikal seperti perubatan, haji dan umrah serta pendidikan.

“Kami menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan, bagi memastikan kebajikan anggota sentiasa menjadi fokus utama, tambah beliau.

KPF
KPF terus komited menjaga kebajikan anggota termasuk memproses pengeluaran syer secara berfasa dan mengutamakan kes kritikal. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Sementara itu, Mohd Banuri berkata,
pelantikan KPF sebagai ejen tunggal pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) membuktikan keyakinan FELDA terhadap peranan KPF dalam ekosistem pembangunan komuniti peneroka.

Jelas beliau, KPF berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang stabil, tanpa mencatatkan kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1980 bukti keupayaan pengurusan dan asas ekonomi yang kukuh.

“Sokongan tidak berbelah bahagi daripada para anggota khususnya peneroka yang setia bersama KPF sejak awal adalah nadi kekuatan kami. Kita akan bangkit bersama untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button