Koperasi FELDA perlu manfaatkan ekosistem RM120 bilion
KUALA LUMPUR – Semua pertubuhan koperasi di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) disaran memanfaatkan sepenuhnya kekuatan ekosistem agensi itu yang dibangunkan sejak dari awal penubuhannya.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, FELDA kini memiliki ekosistem bernilai kira-kira RM120 bilion yang mampu memberikan pulangan besar kepada koperasi-koperasi di bawah naungan FELDA sekiranya dimanfaatkan secara optimum.
Bagaimanapun katanya, potensi besar itu perlu diteroka dengan dasar baharu yang lebih teliti dan tegas supaya manfaat daripada aktiviti perniagaan dan ekonomi dapat terus mengalir kepada koperasi dan peneroka.
“Ekosistem ini adalah aset berharga yang perlu diterokai secara strategik bagi meningkatkan kesejahteraan ahli dan memastikan kelangsungan ekonomi FELDA.
“Takkan dari RM120 bilion nilai ekosistem yang ada ini, 10 peratus tak dapat disalurkan kepada ahli? Sedangkan ada syarikat yang mengaut keuntungan sebagai orang tengah sahaja tanpa ada sebatang pokok sawit pun.
“Dan saya tidak dapat bayangkan sekiranya bandar-bandar yang sudah membangun dengan gah di kawasan FELDA seluruh negara mula ‘mati’ sekiranya kita gagal memanfaatkan potensi ini,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke 13 & Pelancaran Nama dan Logo baharu Koperasi Generasi Felda Baru Berhad (KGFB) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi KGFB yang baharu, Izham Mustaffa; Pengurus Besar KGFB, Norfazilah Dahari dan Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Siti Azlin Ahmad Dauta.

Ahmad Shabery berkata, bagi memastikan usaha itu terlaksana, beliau menyarankan agar Pengerusi KGFB menetapkan dasar baharu untuk mencari peluang ekonomi serta memastikan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan FELDA mampu menawarkan ‘peluang’ kepada koperasi.
“Saya harap selepas ini kita akan lebih teliti dari segi meluluskan pelbagai bidang perniagaan dan projek berkait dengan FELDA.
“Kita perlu tetapkan sesiapa sahaja yang mahu menjalinkan perniagaan dengan FELDA dapat menawarkan sesuatu kepada koperasi,” katanya.
Ujar beliau, pendekatan itu sejajar dengan semangat Dasar Ekonomi Baharu 1969 yang memperkenalkan konsep ‘perkongsian kuasa’ demi menjamin kestabilan ekonomi negara.
“Usaha ini juga memenuhi aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini mahu FELDA menetapkan hala tuju baharu dan menjadi organisasi yang berdikari,” katanya lagi.
Ahmad Shabery turut menegaskan bahawa koperasi FELDA tidak memerlukan dana berbilion ringgit untuk memulakan pembangunan atau menyelesaikan hutang, sebaliknya perlu bermula dengan kemampuan sedia ada.
“Sektor sawit FELDA sahaja mampu menghasilkan kira-kira 13 juta tan setahun dengan anggaran nilai RM13 bilion dan sekiranya dikira dalam putaran ekonomi, nilainya boleh mencecah hampir RM70 bilion — belum masuk sektor lain yang mampu menyediakan pelbagai peluang baharu,” katanya.
Sementara itu, KGFB dalam satu kenyataan mengumumkan agihan dividen sebanyak lapan peratus kepada semua anggotanya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Pengagihan itu telah diluluskan dalam mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-13 petang ini melibatkan jumlah RM55,662,381 manakala hibah atas akaun dividen adalah 1.5 peratus bersamaan 217,307 kepada seluruh 26,422 anggota KGFB.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






