Konvoi KAKM catat rekod MBOR
DURIAN TUNGGAL – Program Kembara Aku Kasih Malaysia (KAKM) melakar sejarah apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan teramai dalam segmen Bicara Kenegaraan 2025 sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM).
Lebih istimewa, kejayaan itu dicapai dengan persiapan kurang sebulan, namun konvoi tetap berjaya menamatkan jelajah hampir seluruh Semenanjung Malaysia dengan penuh semangat kekeluargaan.
Konvoi yang bermula di Putrajaya pada Rabu lalu menempuh perjalanan sejauh 1,476 kilometer merentasi tujuh negeri sebelum berakhir di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tengah hari tadi.
Pengerusi Fast Bikes Club, Fadzlaini Ibrahim berkata, pencapaian tersebut membuktikan semangat cintakan negara mampu mengatasi cabaran walaupun berdepan pelbagai rintangan sepanjang perjalanan.
“Hujan lebat, pokok tumbang, motosikal rosak, semuanya tidak melemahkan peserta. Dengan persediaan kurang sebulan, mereka tetap sampai ke garisan penamat dengan penuh kebanggaan,” katanya pada majlis penutupan di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Pengarah Profesional Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Shahrir Zaman Abdul Wahab turut merakamkan penghargaan kepada peserta atas kejayaan konvoi yang berlangsung tanpa sebarang insiden besar.
Katanya, penghormatan diberikan kepada peserta untuk berarak bersama Ketua Menteri Melaka di Dataran Pahlawan semalam turut menjadi simbol kejayaan program.
Selain jelajah, konvoi itu membawa mesej perpaduan apabila peserta termasuk wanita profesional turun menyantuni masyarakat sepanjang laluan.
“Bagi kita, menunggang motor besar mungkin perkara biasa, tetapi masyarakat teruja melihat peserta mendekati mereka dengan penuh mesra. Inilah roh Aku Kasih Malaysia,” katanya.
Program selama lima hari empat malam itu melalui Putrajaya, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menamatkan perjalanan di Melaka.
Konvoi KAKM yang merupakan antara program utama AKM sempena Bulan Kebangsaan akan melabuhkan tirai secara rasmi pada 13 September ini di Aeon Mall Puchong dengan Fast Bikes Club turut menerima sijil penghargaan khas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








