BISNES & EKONOMI

remadesia cipta rekod Beg Tarpaulin upcycle terbesar

KUALA LUMPUR – Pengeluar beg tarpaulin upcycle tempatan, remadesia mencatat sejarah baharu apabila beg tarpaulin upcycle terbesar keluarannya diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai yang terbesar.

Beg yang dipamerkan di Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini dihasilkan menggunakan lebihan bahan industri melalui kemahiran kraftangan dan reka bentuk kreatif.

Beg gergasi berukuran 4.1 meter tinggi, 2.2 meter panjang dan 1.2 meter lebar itu dipamerkan sempena Malaysia Circular Economy & Sustainability Week 2026 di Pink Zone, Aras 2, Pavilion Bukit Jalil.

Acara dimeriahkan lagi dengan kehadiran Permaisuri Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Ampuan Pahang yang berkenan mencemar duli melawat pameran berkenaan.

Menurut pengasas remadesia, Alfred Kong, pengiktirafan itu bukan sekadar pencapaian rekod, sebaliknya diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan semula bahan dan amalan penggunaan yang bertanggungjawab.

“Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records ini adalah pencapaian penting dalam perjalanan remadesia, namun yang lebih utama, kami berharap ia menjadi titik permulaan untuk lebih ramai memahami konsep reka bentuk kitaran, penggunaan semula bahan dan amalan penggunaan secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.

Cindy Wong menerima sijil pengiktirafan dari wakil MBOR.

Beliau berkata, remadesia terus mengubah bahan buangan industri dan lebihan tarpaulin menjadi beg praktikal, selain membuka peluang kepada wanita B40, ibu tunggal dan Orang Asli untuk terlibat dalam proses pengeluaran.

Alfred berkata, pihaknya turut menyasarkan beg keluaran tempatan itu menjadi pilihan pelancong sebagai cenderamata dari Malaysia.

“Matlamat utama kami adalah supaya setiap pelancong membeli beg buatan Malaysia ini, bukan sahaja sebagai cenderamata, tetapi juga bagi menyokong usaha murni yang sedang kami laksanakan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengasas remadesia, Cindy Wong berkata, pihaknya akan terus mengembangkan produk tempatan berasaskan bahan guna semula untuk ditawarkan kepada pelancong di Malaysia.

Program berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif berkaitan kelestarian dan upcycling, antaranya Upcycled Bag Sand Bag Challenge bagi menguji ketahanan beg remadesia.

Pengunjung turut berpeluang menghias beg menerusi ruang DIY Personalise Corner, selain menurunkan tandatangan pada beg terbesar itu sebagai tanda sokongan terhadap usaha penggunaan semula bahan.

Untuk rekod, remadesia merupakan antara jenama tempatan yang menghasilkan beg daripada tarpaulin industri terpakai dengan menggabungkan pengalaman lebih tiga generasi dalam pembuatan kanvas dan konsep reka bentuk kitar semula.

Maklumat lanjut mengenai remadesia boleh diperoleh menerusi laman web www.remadesia.com.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button