BERITA SEMASABISNES & EKONOMIHIBURAN

Bumbu Babah catat rekod MBOR, jual 23,674 hidangan nasi padang dalam 24 jam

KUALA LUMPUR – Perniagaan nasi padang milik usahawan dan penyampai radio, Ajak Shiro mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencatat jualan tertinggi hidangan nasi padang dalam tempoh satu hari.

Pengiktirafan itu diberikan kepada jenama Bumbu Babah selepas berjaya menjual sebanyak 23,674 hidangan nasi padang dalam tempoh 24 jam pada 1 Januari 2026 menerusi 40 cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia.

Sebagai pengasas dan pemilik Bumbu Babah, Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak berkata, kejayaan berkenaan tidak pernah terlintas dalam fikirannya dan disifatkan sebagai hasil sokongan luar biasa pelanggan serta komitmen padu pasukan pengurusan dan kakitangan.

Ajak menghidangkan sajian lauk nasi padang kepada pelanggan.

Menurutnya, idea untuk menjual nasi padang pada awalnya hanya sekadar melayan cadangan anak perempuannya, Nada dan tidak menyangka ia mampu mencatat sambutan luar biasa dalam tempoh singkat.

“Nasi padang bukan makanan harian kebanyakan rakyat Malaysia. Walaupun dikenali ramai, ia bukan pilihan setiap hari.

“Jadi, saya benar-benar terkejut apabila dalam satu hari kami berjaya menjual lebih 23,000 hidangan,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian pengiktirafan MBOR yang berlangsung di Bumbu Babah, MyTown, di sini hari ini.

Menurut Ajak, pencapaian itu bukan sekadar rekod jualan, sebaliknya mencerminkan kepercayaan pengguna terhadap jenama tempatan yang baru beroperasi lebih setahun.

Mengulas mengenai penubuhan Bumbu Babah, Ajak berkata idea tersebut tercetus daripada cadangan Nada yang menggemari ayam goreng dibelinya dari sebuah restoran, sebelum mencadangkan keluarga mereka memulakan perniagaan makanan.

Nada turut mencadangkan nama Bumbu Babah dan kini diiktiraf sebagai ‘pengasas kecil’ jenama berkenaan, dengan gambarnya dipaparkan di setiap cawangan sebagai simbol permulaan perniagaan keluarga itu.

Berkongsi prestasi perniagaan, Ajak berkata, Bumbu Babah bermula dengan sebuah cawangan yang mencatat jualan sekitar RM200,000 sebulan sebelum berkembang pesat sehingga mencatat jualan bulanan melebihi RM4 juta, malah hampir mencecah RM5 juta dengan 40 cawangan ketika ini.

Restoran Bumbu Babah kini mempunyai 40 cawangan di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, syarikat menyasarkan pembukaan 60 cawangan menjelang April 2026 dan antara 80 hingga 100 cawangan menjelang akhir tahun ini.

Ajak turut mengakui perjalanan perniagaan itu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, termasuk isu tular di media sosial berkaitan sijil halal pada peringkat awal operasi.

“Proses mendapatkan sijil halal sedang berjalan ketika itu, namun ada pihak yang terus menghukum tanpa mendapatkan penjelasan.

“Dari situ saya belajar banyak tentang dunia perniagaan dan cara berdepan persepsi awam,” katanya.

Bumbu Babah bermula sebagai gerai kecil di medan selera Giant Batu Caves pada penghujung 2024 sebelum berkembang kepada 40 cawangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Dalam tempoh setahun pertama operasinya, jenama tempatan itu telah menghidangkan lebih tiga juta hidangan nasi padang kepada pelanggan di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button