BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pekerja restoran lemas dihanyut arus deras di Sungai Lembing

KUANTAN – Seorang pekerja restoran dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakan di kawasan rekreasi Pasir Puteri, Sungai Lembing, di sini, petang semalam.

Mangsa, Wan Izani Wan Mohd Samsudin, 29, berasal dari Kelantan dan bekerja di sebuah restoran di Balok, difahamkan datang ke lokasi kejadian bersama tiga orang rakannya untuk berkelah dan bermandi-manda.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.54 petang.

“Mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras ketika mandi dan usaha menyelamat oleh rakannya tidak berhasil,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota telah dikerahkan ke lokasi bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus menerima maklumat.

“Operasi SAR diteruskan pagi ini dan setakat jam 9 pagi, mangsa masih belum berjaya ditemui,” ujar Zulfadli.

Pihak bomba menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan memantau keadaan cuaca serta arus sungai sebelum melakukan sebarang aktiviti air, terutamanya ketika musim hujan dan cuaca tidak menentu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button