Bekas ADUN Pengkalan Kundor ditemukan lemas di sungai
ALOR SETAR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Datuk Mohd Jamil Md Idross, 78, ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai lemas di sebuah sungai berhampiran Kampung Teluk Bagan, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 7.50 pagi.
Menurutnya, sebuah jentera bersama lima anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Salim Abdul Razak, segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, pasukan bomba dimaklumkan oleh orang awam bahawa seorang lelaki dipercayai lemas di sungai berkenaan.
“Operasi pencarian kemudian dijalankan di permukaan air sekitar lokasi mangsa dipercayai hilang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan pada pukul 8.05 pagi sebelum dibawa naik ke tebing sungai kira-kira 13 minit kemudian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi berkenaan turut dibantu dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan berjaya dikawal pada pukul 8.22 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.11 pagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








