BERITA SEMASA

Penerokaan haram Tasik Bera- Tok Wan tegas tiada kompromi

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang memberi amaran tegas bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang menceroboh atau meneroka hutan secara haram, termasuk di kawasan Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata tindakan penguatkuasaan akan dikenakan tanpa mengira siapa yang terbabit sekiranya didapati melakukan pencerobohan tanah secara haram.

“Sebab itu kita ambil tindakan apabila ada pembukaan tanah haram. Kita di Pahang tidak berkompromi dengan pembukaan tanah haram. Kita akan kuat kuasa tanpa mengira siapa pun.

“Sekiranya kita dapati mereka menceroboh tanah secara haram, kita akan ambil tindakan,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Terbuka Kampung Sempadan Lancang, Temerloh, hari ini.

Menurut Wan Rosdy, tindakan tegas itu juga penting bagi memastikan Tasik Bera terus terpelihara dan kerajaan negeri tidak berdepan teguran UNESCO sekiranya kegiatan penerokaan haram dibiarkan berterusan.

“Sebab itu kita ambil tindakan. Kalau kita biarkan, sudah pasti UNESCO akan buat teguran.

“Tetapi apabila kerajaan negeri mendapat tahu ada pembukaan atau pembakaran, kerajaan negeri akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, kegiatan pembukaan tanah secara haram itu berlaku tanpa pengetahuan kerajaan negeri pada peringkat awal sebelum dikesan pihak berkuasa.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh membiarkan kegiatan berkenaan berterusan kerana tanggungjawab kerajaan bukan sekadar mengurus tanah, tetapi turut memastikan kawasan yang sepatutnya dilindungi kekal terpelihara.

Ditanya mengenai langkah pemulihan terhadap kawasan hutan yang telah diteroka secara haram, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan tindakan susulan yang bersesuaian.

Baru-baru ini, Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Saifullah Muhammad Ali, dilaporkan berkata kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diiktiraf sebagai Tapak Ramsar sejak 1994 kini berdepan ancaman serius.

Lebih 7,000 hektar kawasan berkenaan dilaporkan telah diteroka secara haram untuk tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.

Tasik Bera merupakan antara kawasan ekosistem tanah lembap penting negara yang memerlukan perlindungan berterusan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kepentingannya kepada generasi akan datang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button