
China hantar angkasawan termuda
BEIJING – China sekali lagi melakar sejarah dalam penerokaan angkasa lepas apabila menghantar angkasawan termuda negara itu, Wu Fei, 32 tahun, ke Stesen Angkasa Tiangong menerusi misi Shenzhou-21 yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan, semalam.
Pelancaran menggunakan roket Long March 2F itu turut membawa dua lagi angkasawan, Zhang Lu, 48, yang bertindak sebagai komander misi serta Zhang Hongzhang, 39, sebagai pakar muatan.
Ketiga-tiga mereka dijadual berada di orbit selama enam bulan bagi melaksanakan 27 eksperimen saintifik dan penyelidikan teknologi.
Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas Berawak China (CMSA), misi kali ini turut membawa empat ekor tikus bagi kajian pertama pembiakan dan kelakuan mamalia kecil dalam persekitaran mikrograviti di Stesen Tiangong.
Kejayaan pendaratan (docking) kapsul Shenzhou-21 ke modul utama stesen itu dicapai hanya tiga jam setengah selepas pelancaran, sekaligus mencatat rekod baharu bagi masa paling pantas dalam sejarah penerbangan angkasa lepas China.
Wu Fei, yang kini memegang gelaran angkasawan termuda pernah dihantar ke orbit, mewakili generasi baharu program angkasa China. Beliau dijangka memainkan peranan penting dalam penyelidikan ke arah misi pendaratan manusia di Bulan menjelang 2030, seperti yang diumumkan Beijing baru-baru ini.
Misi kali ini turut menandakan fasa baharu operasi berterusan Stesen Tiangong yang kini menjadi simbol kemajuan sains dan teknologi China di peringkat global.
Beijing kini semakin hampir menyaingi keupayaan Amerika Syarikat dalam bidang penerokaan angkasa, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai kuasa angkasa utama Asia.
Pemerhati antarabangsa menyifatkan langkah itu bukan sekadar pencapaian saintifik, tetapi juga manifestasi kekuatan geopolitik dan teknologi China di rantau Asia Pasifik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








