BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Kumpulan VFive tubuh dua anak syarikat teroka potensi sektor kesihatan, tenaga boleh diperbaharu

KUALA LUMPUR – Kumpulan VFive terus memperkukuhkan agenda transformasi korporatnya menerusi penubuhan dua anak syarikat baharu, VFive Healthcare dan VFive Energy, sebagai langkah strategik memperluaskan penglibatan dalam sektor berpotensi tinggi dan berorientasikan masa depan.

Penubuhan kedua-dua entiti itu diumumkan sempena sesi Townhall VFive Group di Wisma VFive Group yang turut disertai kakitangan dari seluruh negara secara fizikal dan maya.

Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen syarikat milikan penuh Bumiputera itu dalam membina ekosistem perniagaan lebih mampan, progresif dan berdaya tahan selaras perubahan ekonomi global.

Menurut beliau, sektor kesihatan dan tenaga boleh diperbaharu dilihat sebagai industri masa depan yang mempunyai potensi pertumbuhan besar sejajar peningkatan permintaan terhadap penyelesaian kesihatan berkualiti serta agenda tenaga hijau.

“Penubuhan VFive Healthcare dan VFive Energy bukan sekadar peluasan perniagaan, tetapi langkah strategik jangka panjang syarikat dalam membina nilai baharu yang mampu memberi impak kepada ekonomi, industri dan kesejahteraan masyarakat.

“Kami percaya masa depan sesebuah organisasi tidak lagi hanya bergantung kepada kekuatan perniagaan tradisional semata-mata, tetapi juga keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan global serta meneroka sektor strategik baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Syafiq Abdullah

Beliau berkata, VFive Healthcare akan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem kesihatan moden termasuk penyelesaian penjagaan kesihatan, kesejahteraan dan teknologi berkaitan industri perubatan.

Sementara itu, VFive Energy pula akan memfokuskan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian tenaga lestari selaras aspirasi negara untuk memperkukuhkan agenda kelestarian serta peralihan tenaga hijau.

Penubuhan dua anak syarikat baharu itu merupakan kesinambungan kepada pelan pengembangan agresif VFive Group yang sebelum ini turut meneroka sektor pembangunan hartanah dan konsesi bagi mempelbagaikan portfolio strategik syarikat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button