GAYA HIDUPRENCANA

Jetama cipta dua rekod MBOR melalui inisiatif pembersihan dasar laut di Semporna

DUA rekod kebangsaan berjaya dicipta oleh Jetama Sdn Bhd menerusi program tahunan Underwater Clean-Up 2025 yang berlangsung di perairan Pulau Mabul, Semporna, Sabah baru-baru ini.

Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan syarikat berkenaan sebagai peneraju dalam pelaksanaan inisiatif kelestarian dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia, khususnya di Sabah.

Wakil MBOR menyampaikan sijil kepada syarikat Jetama Sdn Bhd pada satu majlis baru-baru ini.

Program berimpak tinggi itu disahkan oleh Malaysia Book of Records (MBOR) dengan dua pencapaian luar biasa iaitu Heaviest Marine Debris Underwater Clean-Up in A Day dengan jumlah kutipan 2,171 kilogram (kg) dan Heaviest Plastic Waste Underwater Clean-Up in A Day sebanyak 1,578 kg.

Kedua-dua pencapaian itu melepasi kriteria ketat yang ditetapkan oleh MBOR iaitu kutipan minimum sebanyak 1,000 kg sampah dasar laut dan 350 kg sisa plastik dengan penyertaan tidak melebihi 20 orang penyelam profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, kejayaan itu merupakan satu titik tolak penting dalam usaha berterusan Jetama menyokong agenda kelestarian alam sekitar melalui pendekatan tanggungjawab sosial korporat yang menyeluruh.

Salah seorang penyelam menunjukkan sisa dasar laut yang berjaya dikutip.

“Kita bukan sekadar mencipta rekod untuk dikenang, tetapi mahu meletakkan penanda aras baharu bagi aktiviti pembersihan dasar laut di Malaysia.

“Jetama percaya bahawa impak sebenar terletak pada jumlah sisa yang berjaya dikutip, bukan pada jumlah peserta atau tempoh masa pelaksanaan.

“Usaha ini selaras dengan komitmen syarikat terhadap prinsip Environmental, Social & Governance (ESG) yang kini menjadi teras utama dalam operasi dan pembangunan strategik Jetama,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, program tersebut turut menerima kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk Persatuan Penyelam Profesional Semporna, Persatuan Pelancongan Semporna, Polis Marin dan pihak Majlis Daerah Semporna.

Dalam pada itu, Ahmad Naim turut mengalu-alukan agar lebih banyak organisasi tampil mencabar rekod yang telah dicipta oleh Jetama demi mendorong lebih banyak aktiviti pembersihan laut yang berimpak tinggi.

“Kita ingin lihat persaingan sihat dalam aspek kutipan sebenar sisa laut kerana itu sahaja yang mampu memberi impak positif kepada ekosistem marin.

“Jika ada pihak yang berjaya mengatasi rekod ini, itu kemenangan untuk alam sekitar, namun jika tiada, percayalah Jetama akan kembali dengan usaha yang lebih besar.

Dua penyelam mengangkat sisa yang dikutip di dasar laut dalam program tersebut.

“Pengiktirafan ini bukan matlamat utama, sebaliknya ia menjadi dorongan kepada Jetama untuk terus memperkasa usaha kelestarian secara konsisten,” tegasnya.

Menurut beliau, rekod tersebut hanyalah permulaan dan pihaknya sedang merancang beberapa lagi program jangka panjang yang bukan sahaja melibatkan pembersihan laut, tetapi juga pendidikan awam dan penglibatan komuniti dalam pemuliharaan alam semula jadi.

Sebagai sebuah syarikat GLC, Jetama Sdn Bhd telah membuktikan bahawa organisasi tempatan juga mampu mencipta impak nasional menerusi perancangan strategik dan kerjasama kolektif yang menyeluruh.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Yussof Abdul Manan yang menerima sijil pengiktirafan daripada pegawai rasmi Malaysia Book of Records, Siti Nurhanim Mohd Nor dan Megat Faris Hussein.

Jetama Sdn Bhd ialah sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri Sabah yang ditubuhkan pada 31 Mei 1988.

Syarikat itu berperanan sebagai pemegang konsesi bekalan air utama di Pantai Barat Sabah sejak tahun 1993, mengendalikan loji rawatan air Moyog dan Empangan Babagon serta lima loji rawatan air lain dan kemudahan berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button