AGAMABERITA SEMASA

TV AlHijrah akhiri 2025 dengan lima program berimpak tinggi

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah menutup tirai siaran tahun ini dengan mempersembahkan lima program berimpak tinggi sebagai manifestasi kematangan kandungan serta komitmen berterusan stesen itu dalam menyampaikan dakwah, pendidikan dan pencerahan kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, sepanjang 2025 TV AlHijrah mencatat perkembangan positif merangkumi penerimaan kukuh terhadap kandungan digital dan televisyen, di samping kejayaan mempelbagaikan genre serta pendekatan penyiaran agar nilai dakwah disampaikan secara segar dan relevan.

Sebagai penghargaan kepada penonton setia, TV AlHijrah mempersembahkan Konsert Malam Hijrah Bergema yang julung kali diadakan pada 31 Disember ini, pukul 9 malam di Putrajaya International Convention Centre (PICC), menyatukan irama nasyid, zikir dan semangat hijrah dalam sebuah konsert ambang tahun baharu.

Konsert berkenaan menghimpunkan barisan artis ternama seperti Rabbani, Raihan, UNIC, Lah Ahmad, Hijjaz, Mawi, Sufian Suhaimi, Munsyid Muda (Simfoni, Rabithah, Fine, Aeydan, Onepath, Andika) serta penampilan penyanyi legenda Datuk Hattan, Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Nash.

Menurut Namanzee, konsert itu merupakan buah tangan daripada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

“Konsert ini adalah usaha istimewa yang digerakkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai tanda penghargaan beliau kepada masyarakat Malaysia serta sebagai sebuah inisiatif yang membuktikan bahawa dakwah boleh disampaikan dengan penuh seni, jiwa dan kemuliaan nilai.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah santapan jiwa yang membangkitkan rasa syukur, refleksi dan harmoni ketika kita melangkah menuju tahun baharu,” katanya dalam kenyataan.

Hijrah
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

Beliau berkata, gandingan dua hos berpengalaman, Faizal Ismail dan Ustaz Nabil Ahmad dijangka mengangkat mutu persembahan, selain penglibatan IKIMfm sebagai Rakan Penyiar Radio.

TV AlHijrah turut menekankan pengisian ilmu menerusi Konvensyen Assalamualaikum: Perjalanan Menuju Kepada-NYA yang dianjurkan di PICC pada 30 Disember ini dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari, diikuti Bengkel Solat pada sebelah petang bersama Ustazah Muzayyanah dan Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan.

“Konvensyen Assalamualaikum ini dianjurkan dalam skala besar dengan penyertaan lebih 800 peserta berdaftar. Tokoh tersohor seperti Ustazah Muzayyanah Abdullah, Ustazah Nazirah Abu Bakar, Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan, Abu Talib Husin, Heliza Helmi dan Hazwani Helmi membimbing masyarakat memperhalusi hati serta memperbaiki hubungan dengan Allah SWT,” jelasnya.

Bagi penonton yang tidak berkesempatan hadir ke PICC, TV AlHijrah menyiarkan Program Anugerah Carta 114 Musim Ketiga secara langsung pada 27 Disember, pukul 9 malam sebagai pengiktirafan kepada karya muzik Islamik dan ketuhanan terbaik pilihan penonton sepanjang tahun.

Selain itu, penonton turut disajikan Program Tenang Sekejap serta lima telefilem terbaik Disember secara eksklusif di aplikasi AlHijrah Plus (AH+).

“Program Tenang Sekejap mengetengahkan sisi peribadi asatizah dan pempengaruh Muslim melalui hobi mereka, memperlihatkan dakwah secara ringan dan santai namun penuh makna dan inspirasi,” katanya.

Antara individu yang terlibat termasuk Yousaf Iqbal, Fiekah Ishak, Ustaz Hanafiah Malek, Ustaz Adnin Roslan, Nadira Johari, Nabilah Aliah, Beto Khusyairi dan Ustazah Asni Mansor.

Lima telefilem terbaik yang ditayangkan secara eksklusif di AH+ ialah Surat Dari Syurga, Menantu Datuk Nikah Kahwin, Vibrasi Ayat-Ayat Tuhan, 30 Juzuk Terakhir serta Tanda Kiriman Tuhan, dengan penglibatan pelakon hebat seperti Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Remy Ishak, Izzue Islam, PU Rozi, Nasuha Sulaiman, Syafie Naswip, Datuk Fauziah Nawi dan Vanida Imran.

Menurut Namanzee, melangkah ke 2026, TV AlHijrah bertekad memperluas capaian, memperhebat kandungan digital dan kembali aktif di lapangan.

“Tahun hadapan akan menjadi titik tolak untuk menjadikan AlHijrah bukan sekadar stesen televisyen, tetapi sebuah gerakan masyarakat, gerakan yang memupuk kefahaman agama, membina karakter ummah, dan menyantuni kehidupan melalui penyiaran yang benar-benar membawa perubahan,” katanya.

Antara perancangan utama termasuk pengisian di masjid, institusi pendidikan, lokasi tumpuan awam serta penganjuran Karnival Hijrah 2026.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perjalanan dakwah TV AlHijrah sepanjang tahun ini, sambil menegaskan stesen itu bersedia melangkah ke 2026 dengan semangat baharu, karya lebih mantap dan impak lebih mendalam kepada masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button