AGAMABERITA SEMASA

DUN Selangor lulus pindaan RUU, saring individu ekstrem, liberal seleweng ASWJ dalam agensi agama

SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2025 yang berkaitan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Menurut EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, RUU itu secara jelas memperuntukkan kriteria pelantikan anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Jelas beliau, selain anggota ex-officio, anggota Jawatankuasa Fatwa, anggota Jawatankuasa Tauliah dan anggota Jawatankuasa Rayuan Tauliah hendaklah terdiri daripada mereka yang mengamalkan pegangan ASWJ.

“PIndaan ini juga bertujuan mencegah pelantikan individu berpandangan ekstrem, liberal atau cenderung kepada fahaman yang menyeleweng daripada ASWJ. Malah ia bertujuan memastikan pentadbiran Islam negeri ini selaras dengan pegangan ASWJ dan prinsip maqasid syariah.

“Ia khususnya dalam aspek pemeliharaan agama,” kata Mohammad Fahmi dalam pembentangan RUU berkenaan sebelum diluluskan sebulat suara selepas dibahaskan enam ADUN, antaranya ADUN Meru, Mariam Abdul Rashid, Mohd Shafie Ngah (Sungai Ramal) dan Muhammad Izuan Ahmad Kasim (Kota Damansara).

Baca juga : Penggunaan nama ‘Islam’ dalam pertubuhan perlu garis panduan khusus

Mengulas implikasi penting terhadap
pindaan itu, Fahmi berkata, ia termasuk pemantapan proses tapisan pelantikan, manakala MAIS akan mempunyai kuasa lebih tuntas untuk menilai latar belakang calon dari sudut pegangan akidah ASWJ sebelum sebarang pelantikan dibuat.

“Dalam hal ini, rujukan akan dibuat kepada Jawatankuasa Fatwa secara pentadbiran untuk menentukan parameter bagi individu yang dicalonkan adalah dalam kalangan ASWJ.

“Dengan adanya pelantikan yang selari dari segi akidah, risiko percanggahan pendapat yang boleh membawa kepada ketidakharmonian dalam pentadbiran agama Islam dapat diminimumkan.

“Apabila semua pihak yang terlibat dalam penggubalan dan penguatkuasaan fatwa berada dalam kerangka ASWJ, keberkesanan pewartaan dan penerimaan masyarakat terhadap fatwa akan meningkat,” katanya.

Tambah Fahmi, pindaan itu juga mampu meningkatkan kepercayaan masyarakat dan umat Islam agar lebih lebih yakin terhadap ketelusan, kebolehlaksanaan serta kewibawaan institusi agama.

“Pindaan tidak melibatkan penambahan peruntukan kewangan. RUU 2025 ini juga telah disemak oleh pihak Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor dari sudut perundangan dan gubalan.

“Pihak Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor melalui surat bertarikh 5 Jun 2025 menyatakan bahawa peruntukan dalam Rang Undang-Undang terbabit adalah teratur,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button