AGAMABERITA SEMASA

Penggunaan nama ‘Islam’ dalam pertubuhan perlu garis panduan khusus

SEPANG – Garis panduan yang lebih terperinci dan tegas perlu diwujudkan berhubung penggunaan nama ‘Islam’ oleh mana-mana pertubuhan bagi menghindari kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menurut EXCO Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah langkah itu penting bagi mengelakkan istilah tersebut disalah guna untuk tujuan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

“Ia (pendaftaran pertubuhan) di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan iaitu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

“Jadi ada wajarnya untuk garis panduan lebih tegas supaya tidak disalah guna untuk tujuan yang mungkin bertentangan dengan agama Islam yang akan mengelirukan umat Islam,” katanya memetik laporan Selangor Kini.

Baca juga : Fatwa Selangor tidak dibatalkan sepenuhnya, yang diketepikan hanya kepada SIS Forum selaku syarikat bukan individu

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kembara Masjid Selangor (KEMAS) 2025 di Masjid Kampung Salak Tinggi, semalam.

Pada Khamis lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014, iaitu bahawa “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam” adalah sah.

Bagaimanapun, panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa fatwa itu tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan atau syarikat.

Ketika membacakan keputusan itu, Tengku Maimun menyatakan bahawa mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, dan perlu bertaubat serta kembali ke jalan Islam.

Sebelum ini, SIS Forum (Malaysia) memohon untuk membatalkan fatwa 2014 yang dikeluarkan oleh MAIS, yang mengisytiharkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam kerana didakwa menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama.

Fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu mengisytiharkan SIS Forum, serta mana-mana individu atau kumpulan yang menganut fahaman tersebut, sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button