
Fatwa Selangor tidak dibatalkan sepenuhnya, yang diketepikan hanya kepada SIS Forum selaku syarikat bukan individu
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini tidak membatalkan sepenuhnya Fatwa Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama 2014 seperti yang digambarkan menerusi beberapa laporan media.
Menurut Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki, ini kerana intipati penuh penghakiman mahkamah itu tidak membatalkan keseluruhan fatwa.
Sebaliknya, katanya, ia membuat keputusan yang terperinci dengan mengesahkan sebahagian dan mengetepikan sebahagian yang lain.
“Bahagian fatwa yang disahkan atau kekal sah melibatkan perenggan pertama fatwa, setakat mana ia menyatakan bahawa mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Selain, perenggan keempat fatwa, yang menyatakan bahawa mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu katanya, bahagian fatwa yang diketepikan atau tidak sah pula melibatkan pemakaian fatwa tersebut kepada SIS Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan, institusi atau syarikat.
“Ia melibatkan perenggan kedua fatwa yang menyentuh pengharaman dan rampasan bahan terbitan dan perenggan ketiga fatwa, yang mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat laman-laman sosial,” katanya.
Katanya, alasan utama mahkamah membuat keputusan itu ialah kerana fatwa tidak boleh terpakai kepada SIS Forum sebagai sebuah syarikat.
Jelasnya, ini kerana mahkamah mentafsirkan frasa Perlembagaan “persons professing the religion of Islam” sebagai merujuk hanya kepada manusia sebenar bukan entiti buatan seperti syarikat atau pertubuhan.
Pada masa sama katanya, mahkamah menjelaskan bahawa sebuah syarikat, sebagai entiti buatan, tidak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan Rukun Islam seperti melafazkan kalimah Syahadah, solat, puasa atau menunaikan haji.
“Dalam konteks yang sama, sebuah syarikat tiada kapasiti untuk bertaubat seperti yang dituntut oleh perenggan keempat fatwa,” katanya.
Sementara itu katanya, mahkamah mendapati perenggan kedua dan ketiga fatwa itu tidak sah kerana Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubalnya.
Ujarnya, perkara berkaitan pengharaman penerbitan menurut perenggan kedua adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Perkara berkaitan sekatan kandungan internet (perenggan ketiga) adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan melibatkan agensi Persekutuan, MCMC.
Menyentuh lebih lanjut katanya, mahkamah menegaskan walaupun fatwa tidak terpakai kepada syarikat, individu-individu yang menggerakkan syarikat atau pertubuhan itu tetap terikat dengan fatwa tersebut di bawah perenggan pertama dan keempat.
“Oleh itu, tidak timbul isu syarikat atau institusi boleh terlepas tanpa bertanggungjawab, kerana kebertanggungjawaban terletak di bahu individu-individu di dalamnya.
“Secara ringkas, keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan bahawa teras teologi fatwa yang menyentuh akidah individu Muslim adalah sah dan berkuat kuasa.
“Pembatalan hanya berlaku pada aspek-aspek yang melangkaui bidang kuasa perlembagaan negeri dan pemakaiannya kepada entiti bukan manusia,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment