Kerajaan MADANI hormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung cabaran fatwa SIS
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang memihak kepada pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) dalam cabaran terhadap fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, pihaknya mengambil maklum keputusan tersebut dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang serta keputusan kehakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan, sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara.
“Keputusan itu akan diteliti secara menyeluruh demi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang. Saya ingin menegaskan bahawa fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting agar fungsi dan kewibawaan institusi fatwa terus dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara.
“Kerajaan MADANI akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil, berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








