KIKSM nafi dakwaan pegawai kesihatan periksa denggi di Wangsa Maju menyamar, maki hamun penduduk
KUALA LUMPUR – Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia (KIKSM) memandang serius penularan video di media sosial yang memaparkan operasi pemeriksaan tempat pembiakan (PTP) denggi di Seksyen 2, Wangsa Maju, serta dakwaan terhadap pegawai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP) yang dikaitkan dengan tuduhan penipuan dan ugutan.
KIKSM dalam satu kenyataan menegaskan pegawai dari Pejabat Kesihatan Titiwangsa yang terlibat dalam operasi Mobilisasi Bantuan Wabak Denggi di kawasan berkenaan sedang menjalankan tugasan rasmi mengikut peruntukan undang-undang.
Menurut KIKSM, operasi berkenaan dilaksanakan berdasarkan Seksyen 5(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, manakala pegawai terbabit telah memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa mengikut prosedur ditetapkan.
“Pemeriksaan berkaitan wabak denggi dibenarkan dijalankan antara jam 6 pagi hingga 10 malam.
“Kehadiran pegawai pada waktu malam adalah bertujuan memastikan kawasan kediaman bebas daripada pembiakan Aedes demi keselamatan komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KIKSM menafikan dakwaan bahawa pegawai terbabit memaki hamun atau menyamar sebagai penjawat awam dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak benar.
Susulan penularan kandungan berkenaan, KIKSM memaklumkan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Wangsa Maju berhubung dakwaan fitnah, rakaman tanpa kebenaran serta pembulian siber yang didakwa mencemarkan imej penjawat awam.
KIKSM turut mengingatkan orang ramai bahawa Seksyen 21 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menghalang pegawai menjalankan tugas.
Selain itu, kesatuan berkenaan merujuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan tindakan terhadap individu yang menghalang penjawat awam ketika menjalankan tugas.
Sehubungan itu, KIKSM mendesak pemilik akaun serta pentadbir laman media sosial yang terlibat supaya memadamkan kandungan tular berkenaan yang disifatkan tidak beretika dan boleh menjejaskan maruah pegawai terbabit.
KIKSM berkata pihaknya akan memantau perkembangan isu itu bagi memastikan pegawai yang terlibat mendapat pembelaan sewajarnya.
Pada masa sama, kesatuan itu menyeru semua PPKP, Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan anggota kesihatan yang bertugas di lapangan, khususnya mereka yang terlibat dalam operasi kawalan wabak denggi di Kuala Lumpur, supaya terus memberikan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







