Elon Musk sumbang AS$500 juta untuk kempen pilihan raya AS
WASHINGTON – Bilionair Elon Musk muncul sebagai penyumbang individu terbesar kempen pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) tahun ini selepas membelanjakan hampir AS$500 juta (RM2 bilion) bagi menyokong calon Parti Republikan.
Perbelanjaan keseluruhan kempen pilihan raya yang berlangsung pada 3 November itu pula dijangka mencecah AS$11.9 bilion (RM48.4 bilion), sekali gus menjadikannya pilihan raya pertengahan penggal paling mahal dalam sejarah AS.
Menurut organisasi bebas yang memantau pembiayaan kempen politik, OpenSecrets jumlah itu diunjurkan meningkat kira-kira 30 peratus berbanding perbelanjaan pada pilihan raya pertengahan penggal 2022.
Sebahagian besar perbelanjaan didorong oleh kumpulan politik luar yang dikenali sebagai Super Political Action Committees (Super PAC) yang menyalurkan dana besar untuk mempengaruhi keputusan pertandingan di beberapa kawasan utama.
Laporan BBC News berdasarkan analisis BBC Verify mendapati, lebih AS$9.5 bilion (RM38.6 bilion) telah dibelanjakan dalam kitaran pilihan raya kali ini sehingga pertengahan Oktober, berdasarkan pemfailan terkini Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan (FEC).
Daripada jumlah itu, kira-kira AS$5.5 bilion (RM22 bilion) melibatkan perbelanjaan PAC dan Super PAC, dengan perbelanjaan kumpulan berkenaan hampir berganda dalam tempoh beberapa bulan terakhir sebelum pengundian.
Walaupun calon, parti dan jawatankuasa politik tertakluk pada peraturan sumbangan tertentu, Super PAC boleh menerima sumbangan tanpa had daripada individu, syarikat, kesatuan sekerja dan jawatankuasa politik lain.
Bagaimanapun, dana berkenaan tidak boleh disalurkan secara langsung kepada calon, sebaliknya digunakan untuk menyokong mereka melalui aktiviti politik dan kempen secara tidak langsung.
Pusat Keadilan Brennan, sebuah badan pemikir berhaluan liberal melaporkan bahawa 40 penyumbang terbesar telah menyumbang AS$2.4 bilion (RM9.7 bilion) sehingga 14 Oktober lalu, rekod tertinggi bagi tempoh berkenaan dalam kitaran pilihan raya pertengahan penggal.
“Perbelanjaan dalam pilihan raya pertengahan penggal 2026 memecahkan rekod, dengan lebih banyak wang datang daripada penyumbang terkaya dan kumpulan berpengaruh dalam pilihan raya kali ini,” kata pakar pembiayaan kempen AS, Michael Beckel.
Selain Musk, beberapa bilionair lain turut menyalurkan dana besar untuk menyokong parti dan kumpulan politik pilihan masing-masing.
Antaranya, George Soros menerusi dua organisasi yang diasaskannya, Geosor Corp dan Fund for Policy Reform, yang secara keseluruhan menyumbang AS$102 juta (RM415 juta) kepada kumpulan liberal.
Bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg pula menjadi antara penyumbang terbesar kepada Demokrat dengan sumbangan melebihi AS$60 juta (RM244 juta).
Sementara itu, beberapa bilionair termasuk Jeff Yass yang mengendalikan salah sebuah firma perdagangan terbesar dunia serta Richard dan Elizabeth Uihlein, pemilik syarikat pembekalan perniagaan di AS, masing-masing turut menyalurkan dana besar kepada kepentingan Republikan.
Bagaimanapun, Musk kekal sebagai penyumbang individu terbesar dengan sebahagian besar dananya disalurkan kepada America PAC, sebuah Super PAC yang ditubuhkannya pada 2024 serta Senate Leadership Fund yang sejajar dengan Republikan.
Sebahagian besar perbelanjaan Musk tertumpu pada persaingan kerusi Senat di Texas dengan menyokong calon Republikan, Ken Paxton yang bertanding menentang calon Demokrat, James Talarico.
America PAC dilaporkan membelanjakan lebih AS$45 juta (RM183 juta) bagi persaingan di Texas, selain kira-kira AS$10 juta (RM40.7 juta) bagi setiap satu pertandingan Senat di Michigan dan Ohio.
Sektor mata wang kripto juga aktif membiayai kempen politik kali ini apabila Ripple dan Coinbase secara bersama menyumbang AS$63 juta (RM256 juta) untuk membiayai Super PAC yang memperjuangkan kepentingan industri berkenaan.
Menurut Brendan J. Glavin daripada OpenSecrets, syarikat berkaitan mata wang kripto turut memainkan peranan penting dalam pembiayaan politik pada kitaran pilihan raya kali ini.
Dari segi penggunaan dana, sebahagian besar perbelanjaan kempen digunakan untuk pengiklanan, khususnya menerusi televisyen, selain pengambilan petugas lapangan, penganjuran perhimpunan politik dan tinjauan pendapat dalaman.
Firma pemantauan pengiklanan, AdImpact melaporkan perbelanjaan pengiklanan mencecah AS$11.15 bilion (RM45.4 bilion) sehingga penghujung Oktober.
Menurut Beckel, televisyen penyiaran tradisional kekal sebagai penerima terbesar perbelanjaan pengiklanan politik, walaupun peruntukan untuk iklan digital terus meningkat.
Selain Texas, Michigan dan Ohio turut menjadi tumpuan utama perbelanjaan pengiklanan bagi persaingan kerusi Senat, diikuti Iowa dan Maine.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














