LUAR NEGARA

Gempa bumi 5.0 gegar Granada, tiada mangsa terkorban

MADRID – Gempa bumi berukuran 5.0 magnitud menggegarkan Granada, Sepanyol awal pagi semalam, menyebabkan beberapa bangunan mengalami kerosakan.

Gempa berlaku kira-kira pukul 1 pagi dengan pusat gempa dikesan di Alhendin, kira-kira 10 kilometer di selatan Granada, menurut Institut Geografi Kebangsaan Sepanyol.

Perkhidmatan kecemasan Andalusia memaklumkan terdapat keretakan pada bangunan selain tembok, serpihan binaan dengan bahagian tertentu bangunan dilaporkan runtuh.

Pegawai kanan kecemasan Andalusia, Antonio Sanz berkata, pihak bomba menerima kira-kira 300 panggilan dan menjalankan 85 operasi susulan kejadian itu terutama di selatan Granada dan kawasan metropolitan.

Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan dan pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan struktur yang serius.

Sanz turut mengesahkan Istana Alhambra, tapak Warisan Dunia UNESCO dan antara mercu tanda utama Granada, tidak mengalami sebarang kerosakan.

Beliau berkata penduduk perlu terus berwaspada kerana gegaran susulan masih berkemungkinan berlaku, manakala pemeriksaan terhadap bangunan yang terjejas sedang dijalankan.

Media tempatan turut menyiarkan gambar serpihan binaan bertaburan di jalan raya serta beberapa kenderaan yang mengalami kerosakan.

Seorang penduduk, Marta Mayorga Fernandez, berkata gegaran itu begitu kuat sehingga mengejutkan mereka daripada tidur.

Gempa bumi berukuran 5.0 itu dipercayai antara yang terkuat melanda Andalusia sejak gempa dengan magnitud sama direkodkan pada 1955.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button