39 maut dalam pertembungan kereta api laju di Sepanyol
MADRID – Sekurang-kurangnya 39 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam pertembungan dua kereta api laju di selatan Sepanyol, insiden yang disifatkan sebagai kemalangan rel paling buruk negara itu dalam tempoh lebih sedekad.
Dalam kejadian pada petang Ahad, gerabak sebuah kereta api yang dalam perjalanan ke Madrid terbabas sebelum memasuki landasan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi kereta api yang datang dari arah berlawanan di Adamuz, wilayah Córdoba.
Pihak pengendali rangkaian rel memaklumkan kira-kira 400 penumpang dan kakitangan berada di kedua-dua tren terbabit.
Perkhidmatan kecemasan merawat 122 mangsa, dengan 43 orang termasuk empat kanak-kanak masih menerima rawatan di hospital.
Daripada jumlah itu, 12 orang dewasa dan seorang kanak-kanak dilaporkan berada di unit rawatan rapi (ICU).
Menteri Pengangkutan Sepanyol, Óscar Puente berkata, angka korban ‘belum muktamad ketika siasatan rasmi dilancarkan.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai amat pelik, malah semua pakar rel yang dirujuk kerajaan turut kebingungan dengan punca kemalangan.

Pengendali rangkaian rel, Adif berkata, perlanggaran berlaku pada pukul 7.45 malam waktu tempatan (pukul 6.45 petang GMT), kira-kira sejam selepas kereta api berkenaan berlepas dari Málaga menuju ke Madrid, apabila ia terbabas di laluan lurus berhampiran Córdoba.
Puente berkata, impak perlanggaran itu menolak gerabak kereta api kedua ke arah tambak.
Kebanyakan mangsa yang maut dan cedera berada di gerabak hadapan kereta api kedua yang sedang bergerak ke selatan dari Madrid ke Huelva.
Kereta api yang terbabit dikenal pasti sebagai Freccia 1000, model berkelajuan tinggi yang mampu mencapai sehingga 400 kilometer sejam, menurut jurucakap syarikat rel Itali, Ferrovie dello Stato, kepada agensi Reuters.
Pasukan penyelamat memaklumkan kerja-kerja menyelamat menjadi sukar berikutan gerabak yang remuk dan berpintal.
Ketua Bomba Córdoba, Francisco Carmona, berkata usaha mengeluarkan mangsa amat mencabar.
“Kami terpaksa mengalihkan mayat untuk sampai kepada mangsa yang masih hidup. Kerja ini sangat sukar dan berisiko,” katanya kepada penyiar awam RTVE.
Seorang wartawan RTVE, Salvador Jimenez, yang berada di salah sebuah kereta api berkata, hentaman itu dirasakan seperti gempa bumi.
“Saya berada di gerabak pertama. Tiba-tiba terasa seperti gempa dan kereta api itu memang terbabas,” katanya.
Rakaman dari lokasi kejadian menunjukkan beberapa gerabak terbalik di sisi, manakala anggota penyelamat memanjat gerabak untuk mengeluarkan mangsa melalui pintu dan tingkap yang senget.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








