JENAYAH & MAHKAMAH

Penyelam wanita ditemukan maut di dasar laut Pulau Tioman

KUANTAN – Seorang wanita berusia 31 tahun ditemukan maut selepas dipercayai mengalami komplikasi ketika menjalankan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Salang, Pulau Tioman, Rompin pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mangsa, Heng Jing Ying dari Cheras, Kuala Lumpur, ditemui terdampar di dasar berpasir selepas dilaporkan hilang daripada kumpulan selamannya.

Menurut beliau, keputusan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat gelembung gas atau udara memasuki saluran darah arteri.

“Setakat ini siasatan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Bagaimanapun, siasatan menyeluruh masih diteruskan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian atau masalah teknikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Balai Polis Pulau Tioman menerima maklumat daripada Klinik Kampung Tekek mengenai kejadian itu pada pukul 12.24 tengah hari, 19 Julai lalu.

Siasatan awal mendapati mangsa menyertai program Aware Coral yang dianjurkan sebuah pusat aktiviti selaman di Kampung Genting pada 17 hingga 18 Julai sebelum menyertai aktiviti fundive di lokasi Seafan, Batu Malang, Pulau Tulai.

Katanya, aktiviti itu disertai sembilan peserta bersama seorang instruktor dan seorang dive master, selain semua peserta telah diberikan taklimat keselamatan dan masing-masing memiliki lesen menyelam.

“Ketika berada pada kedalaman kira-kira 17.6 meter, mangsa dipercayai terpisah daripada kumpulannya sebelum operasi mencari dijalankan di sekitar kawasan selaman.

“Kira-kira 30 minit kemudian, mangsa ditemukan terdampar di dasar berpasir berhampiran lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa naik ke bot dan diberikan bantuan pernafasan, namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

Mangsa seterusnya dikejarkan ke Klinik Kampung Tekek untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menjalani bedah siasat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button