BERITA SEMASA

Program libat penceramah bebas dihentikan serta-merta – KPM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan menegaskan semua program membabitkan penceramah bebas yang dikaitkan dengan dakwaan perlakuan tidak wajar seperti yang tular di media sosial diarah dihentikan serta-merta.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilaksanakan berhubung dakwaan yang turut membabitkan program bersama murid di sekolah.

Menurut beliau, pihaknya mengambil serius dakwaan berkenaan kerana ia menyentuh aspek keselamatan dan perlindungan murid.

“Saya menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan kepada pihak polis.

“Laporan kepada pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan anak-anak mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mendapatkan maklumat lanjut bagi memastikan perkara berkenaan diteliti dengan sewajarnya.

Beliau menegaskan keselamatan murid perlu diberikan keutamaan dan tidak boleh dikompromi.

“Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial berhubung dakwaan perlakuan tidak wajar melibatkan seorang penceramah bebas yang sering mengadakan program di sekolah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button