ASEAN perlu kukuh suara serantau, tolak tekanan luar – Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ASEAN tidak boleh bersikap pasif atau tunduk kepada tekanan kuasa luar dalam menentukan halatuju rantau ini.
Dalam ucapan perasmiannya sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58), beliau menyeru negara anggota supaya kekal bersatu dan berprinsip dalam menghadapi cabaran global yang semakin rumit.
“ASEAN bukan rantau yang boleh diwakili tanpa kita. Kita harus menetapkan haluan sendiri dengan kejelasan dan perpaduan,” katanya.
Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut dihadiri semua menteri luar ASEAN, termasuk menteri luar Timor-Leste sebagai pemerhati, serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Sesi diteruskan dengan mesyuarat pleno dan retret yang dipengerusikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Anwar turut menyentuh konflik di Palestin, Ukraine dan Myanmar, serta ketegangan di Timur Tengah sebagai bukti kegagalan sistem global mempertahankan prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.
“Multilateralisme tidak akan bertahan jika prinsip hanya ditegakkan apabila mudah. ASEAN mesti kekal mempertahankan undang-undang dan nilai sejagat,” ujarnya.
Beliau memberi amaran bahawa perdagangan kini dijadikan alat tekanan geopolitik melalui tarif, sekatan dan pelaburan.
“Ini bukan ribut sementara. Ini adalah cuaca baharu dunia,” tegasnya.
Menurutnya, perpaduan ASEAN mesti diterjemahkan dalam dasar dan tindakan nyata bukan sekadar kenyataan bersama.
Beliau mencadangkan agar dasar luar dan ekonomi ASEAN diselaraskan lebih erat, selaras dengan Wawasan ASEAN 2045.
“Malaysia menyatakan komitmen penuh terhadap penyertaan Timor-Leste sebagai anggota rasmi ke-11 ASEAN menjelang Oktober.
“Timor-Leste bukan sekadar diterima dalam mesyuarat, tetapi dalam visi serantau bersama,” jelasnya.
Mesyuarat AMM-58 menghimpunkan lebih 1,500 delegasi dari seluruh dunia, menjadikannya antara pertemuan diplomatik terbesar tahun ini.
Majlis turut menyaksikan penandatanganan Instrumen Penyertaan kepada Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) oleh semua menteri luar ASEAN.
Myanmar tidak diwakili oleh menterinya, sebaliknya menghantar wakil kanan daripada kementerian luar.
Anwar mengakhiri ucapannya dengan menegaskan kekuatan ASEAN harus diukur melalui manfaat kepada rakyat, bukan sekadar pertemuan rasmi.
“Kita bukan negara yang bergerak selari, tetapi satu komuniti yang bergerak bersama,” jelasnya.
Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN buat kali kelima sejak menyertai blok itu, dengan tema tahun ini, ‘Keterangkuman dan Kelestarian’.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








