ASEAN perlu kekal bersatu, tegas hadapi cabaran serantau – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR – Perpaduan dan ketegasan ASEAN adalah kunci utama dalam menangani cabaran serantau termasuk isu Laut China Selatan dan krisis di Myanmar yang masih berlarutan, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan .
Mohamad Hasan berkata, sebarang tindakan negara anggota mahupun rakan dialog mesti berlandaskan semangat kolektif demi keselamatan dan kestabilan rantau ini, memandangkan hubungan geografi yang rapat antara negara-negara ASEAN menuntut kebergantungan dan kerjasama berterusan.
“Dalam menghadapi cabaran ini, ASEAN mesti kekal tegas dan bersatu. Keraguan atau perpecahan hanya akan mengundang lebih banyak perpecahan serta membuka ruang kepada pembentukan kumpulan kecil baharu yang boleh menjejaskan kepusatan ASEAN.
“Oleh itu, semangat perkongsian, usaha mengelak ketegangan dan menghormati undang-undang antarabangsa perlu menjadi asas setiap tindakan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di sini, hari ini.
Mohamad turut menegaskan komitmen Malaysia sebagai Penyelaras Negara ASEAN bagi China bagi tempoh Ogos 2024 hingga Julai 2027 untuk terus memperjuangkan kepentingan bersama, termasuk memuktamadkan Kod Tatakelakuan (COC) di Laut China Selatan.
Menyentuh krisis di Myanmar, beliau
menegaskan penyelesaiannya memerlukan keazaman politik dan penglibatan aktif semua pihak.
Katanya, kegagalan menangani isu itu hanya akan mencetuskan kesan rentas sempadan seperti jenayah, pelarian dan ketidakstabilan sosioekonomi.
“Usaha ini mesti digerakkan bukan sahaja oleh kerajaan, tetapi seluruh masyarakat rantau ini, dengan proses keamanan diterajui oleh rakyat Myanmar sendiri serta disokong ASEAN.
“Perjalanan ini panjang, dan ia perlu berasaskan kepercayaan, bukan paksaan. Pengerusi ASEAN yang akan datang mesti terus menunjukkan tekad dan keutuhan semangat perpaduan rantau ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut menyentuh ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja yang menimbulkan kebimbangan dalam komuniti ASEAN, namun bersyukur apabila kedua-dua negara memilih penyelesaian secara diplomasi dan dialog.
“Sebagai Pengerusi, Malaysia berbesar hati atas kepercayaan diberikan untuk memudah cara usaha ini dan kekal komited menyokong kedua-dua negara.
“Kami menantikan pemeteraian perjanjian gencatan senjata serta penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN pada sidang kemuncak kali ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








