BERITA SEMASAMALAYSIA MADANI

Timor-Leste sah sertai ASEAN, buka lembaran baharu sejarah serantau

KUALA LUMPUR – Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN hari ini selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam ASEAN dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Majlis penuh bersejarah itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama semua menteri luar negara anggota ASEAN.

Dalam ucapannya, Mohamad berkata penyertaan rasmi Timor-Leste bukan sekadar langkah diplomatik, sebaliknya melambangkan kekuatan perpaduan dan cita-cita bersama negara-negara Asia Tenggara.

“Hari ini kita menyambut penyertaan Timor-Leste ke dalam keluarga ASEAN. Ini bukan sekadar peristiwa diplomatik, tetapi simbol kekuatan dan perpaduan serantau,” katanya pada majlis berkenaan seperti dilaporkan BH Online.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Menteri Luar Timor-Leste, Bendito Freitas kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.

Mohamad turut menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan dan rakyat Timor-Leste atas kejayaan besar itu yang disifatkannya sebagai hasil perjuangan panjang penuh kesabaran dan harapan.

“Timor-Leste adalah negara yang dibina atas keberanian, kesabaran dan harapan yang tidak pernah padam.

“Hari ini, anda menyertai keluarga yang sekian lama menantikan kehadiran anda,” katanya.

Tambah beliau, Piagam ASEAN bukan hanya dokumen asas tetapi menjadi nadi kepada visi bersama rantau ini yang berpaksikan kepercayaan, rasa hormat dan solidariti demi keamanan serta kemakmuran bersama.

Penyertaan Timor-Leste dalam Piagam ASEAN dan SEANWFZ menandakan komitmen kukuh negara itu untuk memastikan Asia Tenggara kekal sebagai zon aman dan bebas daripada ancaman senjata nuklear.

“Langkah ini membuktikan keyakinan Timor-Leste terhadap nilai dan idealisme ASEAN serta kepercayaan terhadap masa depan bersama yang harmoni dan saling menghormati,” ujar beliau.

Mohamad menegaskan bahawa kehadiran Timor-Leste akan memperkaya identiti ASEAN bukan sahaja dari segi demografi tetapi juga politik, budaya dan ekonomi.

“Kekuatan ASEAN sentiasa terletak pada kepelbagaian dan dengan penyertaan Timor-Leste, perpaduan serantau ini akan menjadi lebih kukuh,” katanya.

Menurut beliau, penyertaan itu turut mencerminkan keyakinan terhadap ASEAN sebagai organisasi yang inklusif, berdaya tahan dan bersedia melangkah ke masa depan dengan semangat kerjasama dan kemajuan bersama.

“Semoga kita terus melangkah bersama sebagai satu rantau yang bersatu, makmur dan teguh menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Timor-Leste memperoleh kemerdekaan pada tahun 2002 dan secara rasmi memohon menjadi anggota ASEAN pada 2011 sebagai sebahagian daripada usaha integrasi serantau.

Selepas lebih sedekad proses penilaian melibatkan aspek kesediaan ekonomi, kapasiti institusi dan konsensus ahli, pemimpin ASEAN akhirnya mencapai kata sepakat pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh pada November 2022 untuk menerima Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button