BERITA SEMASAKERAJAAN PERPADUAN

Pemeliharaan sejarah serantau pastikan nilai perpaduan ASEAN terus subur – Aaron

KUALA LUMPUR – Segala catatan, rekod diplomasi, dokumen perjanjian, ucapan pemimpin serta naratif sejarah ASEAN perlu dipelihara dan didokumentasikan secara sistematik bagi memastikan ia kekal menjadi rujukan generasi akan datang.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sejarah bukan sahaja menjadi sumber akademik, tetapi juga panduan untuk memahami bagaimana negara-negara ASEAN membina asas kerjasama serantau sejak lebih lima dekad lalu.

“Dokumentasi menyeluruh ini mampu menjadi panduan kepada generasi akan datang dalam menghadapi cabaran geopolitik, ekonomi dan sosial yang semakin kompleks,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Sejarah ASEAN: Keterangkuman dan Kemampanan di Arkib Negara Malaysia di ibu negara hari ini.

Beliau berkata, institusi seperti arkib, muzium, perpustakaan dan pusat penyelidikan perlu memainkan peranan utama bukan sekadar sebagai penjaga khazanah sejarah, tetapi turut menjadi penghubung antara rakyat dengan akar identiti serantau.

Katanya, melalui pameran, penerbitan, digitalisasi dan pelbagai medium kreatif, sejarah ASEAN dapat dihidupkan semula agar lebih dekat di hati masyarakat, khususnya golongan muda.

Tambah beliau, naratif sejarah ASEAN yang dipelihara akan memperlihatkan betapa nilai perpaduan, kerjasama dan saling menghormati telah lama menjadi teras hubungan antara negara di rantau ini.

“Dengan itu, penghayatan sejarah bukan sahaja memperkukuh jati diri kebangsaan, malah mengukuhkan perasaan kebersamaan serantau yang amat diperlukan dalam membina masa depan yang lebih stabil dan harmoni,” jelasnya.

Sejarah
Aaron bergambar bersama peserta Program Bicara Sejarah ASEAN: Keterangkuman dan Kemampanan di Arkib Negara Malaysia. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Menurutnya lagi, program seumpama itu sejajar dengan peranan Arkib Negara dalam melestarikan warisan negara melalui pengumpulan, penyelidikan dan penerbitan bahan arkib yang autentik.

Ketika ini terdapat sejumlah 2,935 bahan arkib menggunakan kata kunci ASEAN yang boleh diakses melalui Sistem COMPASS Arkib Negara.

Aaron turut menggalakkan rakyat Malaysia memanfaatkan kemudahan penyelidikan Arkib Negara sama ada secara fizikal di ibu pejabat dan 10 Arkib Negara Malaysia Negeri di seluruh negara, mahu pun secara maya melalui sistem Online Finding Aid (OFA).

Baca juga : Koleksi sejarah penubuhan ASEAN diiktiraf UNESCO, Malaysia bangga jadi Pengerusi ASEAN 2025

Selain itu, beliau menyeru orang ramai turut menyumbangkan bahan berkaitan ASEAN atau sejarah Malaysia kepada Arkib Negara dalam usaha memperkayakan lagi sumber sahih sejarah negara.

Dalam pada itu, Aaron berkata, sebagai institusi memori negara, Arkib Negara Malaysia bukan sahaja penyimpan khazanah negara dan serantau, tetapi juga penyumbang aktif dalam jaringan serantau.

Sejak 8 Julai 1968, Arkib Negara menjadi Sekretariat Tetap bagi Southeast Asia Regional Branch of the International Council on Archives (SARBICA) dengan jawatan utama keurusetiaan iaitu Secretary General dan Treasurer digalas oleh pegawai arkib.

Dalam pada itu, Arkib Negara turut menyumbang kepada kejayaan negara di peringkat antarabangsa apabila pencalonan The Birth of ASEAN: The Archives of ASEAN Formation 1967-1976 didaftarkan sebagai UNESCO Memory of the World (MoW) International Register pada 17 April 2025.

Kejayaan tersebut adalah pencalonan bersama antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand dengan salah satu bahan utama pengiktirafan ialah Deklarasi Penubuhan ASEAN bertarikh 8 Ogos 1967 yang disimpan di Arkib Negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button