Koleksi sejarah penubuhan ASEAN diiktiraf UNESCO, Malaysia bangga jadi Pengerusi ASEAN 2025
KUALA LUMPUR – Koleksi The Birth of the Association of Southeast Asia Nations (ASEAN) (Archives about the Formation ASEAN, 1967-1976) telah berjaya diiktiraf sebagai sebahagian daripada UNESCO Memory of the World (MoW) International Register pada 17 April 2025 di Paris, Perancis.
Pengiktirafan berprestij itu turut merangkumi The ASEAN Declaration bertarikh 8 Ogos 1967 yang disimpan di Arkib Negara Malaysia, sekali gus menyumbang kepada kejayaan pendaftaran tersebut.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kejayaan itu amat signifikan memandangkan Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
“Pengiktirafan ini menunjukkan komitmen Malaysia dalam memelihara dokumen penting sejarah serantau serta memperkukuh jati diri ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pameran Semangat ASEAN, Pameran Karya Agung dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Muzium Malaysia, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa The Works of Hamzah Fansuri, karya agung kesusasteraan Melayu abad ke-16 juga telah tersenarai dalam daftar yang sama menerusi pencalonan bersama Perpustakaan Negara Malaysia dan Perpustakaan Republik Indonesia.
Bagi mengetengahkan kepelbagaian budaya, kesenian dan warisan negara serta serantau, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menganjurkan Pameran Semangat ASEAN bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan, bermula 21 April hingga 31 Ogos 2025 di Galeri 2, Jabatan Muzium Malaysia.
“Sebanyak 120 koleksi dari negara-negara anggota ASEAN dipamerkan, meliputi warisan budaya, sejarah dan amalan lestari yang mencerminkan identiti unik setiap negara.
“Pameran ini bukan sahaja memperkaya pemahaman terhadap identiti ASEAN, tetapi juga menjadi platform menyemai semangat kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan negara jiran,” ujar beliau.
Sementara itu, Pameran Karya Agung yang berlangsung dari 15 April hingga 30 Jun 2025 pula merupakan kolaborasi antara JMM dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, menghimpunkan 64 koleksi seni kraf tempatan merangkumi seni tekstil, hasil rimba, logam dan tanah.
Pameran ini diadakan sebagai penghargaan kepada penggiat seni yang berjasa dalam memelihara dan memartabatkan warisan negara, di samping mendidik masyarakat untuk menghargai nilai estetika, sejarah dan identiti tempatan.
Pelbagai program sampingan seperti Wacana Kraf, Demonstrasi Kraf dan Aktiviti Interaktif turut disusun sepanjang tempoh pameran bagi mendekatkan masyarakat dengan dunia seni kraf secara lebih menyeluruh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








