LUAR NEGARA

Rakyat Malaysia antara dua maut dalam nahas helikopter di Filipina

MANILA – Seorang rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina maut selepas sebuah helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan lapang di Pililla, wilayah Rizal, kira-kira dua jam perjalanan ke tenggara Manila, hari ini.

Helikopter yang membawa lima individu termasuk dua warga Malaysia itu dilaporkan terhempas di kawasan berumput dalam sebuah kejiranan sekitar pukul 7.27 pagi tadi (waktu Malaysia).

Heli terhempas
Dua kakitangan Farm Fresh disahkan terlibat dalam nahas tersebut.

Difahamkan dua kakitangan Farm Fresh terlibat dalam nahas helikopter jenis Bell 505 itu.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal.

“(Terdapat) dua kakitangan (Farm Fresh) terlibat dalam kemalangan berkenaan. Saya sedang berada di lapangan terbang menuju ke sana (Filipina) ketika ini,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Dalam pada itu, pegawai polis wilayah Rizal, Ramjae Pangga memberitahu agensi berita antarabangsa bahawa dua penumpang disahkan terkorban dalam kejadian tersebut, masing-masing seorang warga Malaysia dan seorang warga Filipina.

Datuk Bandar Pililla, John Masinsin pula memaklumkan juruterbang helikopter berkenaan mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi mangsa terselamat.

“Tiga mangsa yang terselamat masih dalam keadaan terkejut, terutama juruterbang,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa telah dibawa ke hospital tertiari di Metro Manila atas permintaan keluarga masing-masing.

Masinsin turut memuji tindakan juruterbang yang berjaya mengawal pesawat dan mendaratkannya di kawasan perumahan tanpa mengakibatkan kecederaan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca nahas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button