72 maut akibat monsun di Pakistan
ISLAMABAD – Angka kematian akibat musim monsun di Pakistan meningkat kepada 72 orang sejak 26 Jun lalu selepas sekurang-kurangnya 24 lagi mangsa terkorban dalam tempoh 24 jam lalu akibat hujan lebat dan ribut di wilayah Punjab dan Khyber Pakhtunkhwa (KP).
Hujan berterusan yang membadai kedua-dua wilayah itu menenggelamkan beberapa bandar utama dan memaksa pihak berkuasa mempertingkatkan operasi kecemasan serta pemantauan di kawasan berisiko.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) memaklumkan gelombang kedua musim monsun yang sedang melanda negara itu dijangka berterusan sehingga hari ini, sekali gus meningkatkan paras air di beberapa sungai utama serta risiko banjir di kawasan rendah dan penempatan berhampiran sungai.
Menurut laporan situasi NDMA yang dikeluarkan semalam, wilayah Khyber Pakhtunkhwa merekodkan jumlah korban tertinggi dengan 41 kematian, diikuti Punjab (19), Azad Jammu dan Kashmir (7) serta Balochistan (5).
Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, seramai 15 orang maut dan dua lagi cedera di Khyber Pakhtunkhwa akibat insiden berkaitan hujan, manakala sembilan lagi dilaporkan terbunuh di Punjab.
Jurucakap Rescue 1122, Farooq Ahmad berkata, sembilan penduduk maut manakala 38 lagi cedera di seluruh Punjab selepas dinding dan bumbung rumah runtuh akibat hujan lebat serta ribut.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah Punjab (PDMA) memaklumkan hujan berterusan menyebabkan paras air di beberapa sungai utama meningkat, dengan banjir pada paras rendah dilaporkan di Kalabagh dan Chashma di Sungai Indus serta di Marala dan Qadirabad di Sungai Chenab.
Kawasan Khanqi pula dilaporkan mengalami banjir pada paras sederhana.
Ketua Pengarah PDMA Punjab, Umar Abbas Meela, berkata hujan di kawasan tadahan dijangka terus meningkatkan aliran air sungai dan meminta penduduk yang tinggal berhampiran sungai segera berpindah ke kawasan lebih selamat.
Beliau berkata, pusat pemindahan sementara telah dibuka di kawasan berisiko dan orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti rekreasi di sungai, terusan serta alur air bermusim.
Menurut NDMA, kebanyakan kematian sepanjang musim monsun kali ini berpunca daripada rumah runtuh, banjir kilat, panahan petir, renjatan elektrik dan kejadian lemas, yang terus menjadi ancaman utama setiap kali musim hujan melanda Pakistan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















