BERITA SEMASALUAR NEGARA

Kereta api tergelincir di Oaxaca, 13 maut hampir 100 cedera

MEXICO CITY – Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban manakala hampir 100 lagi cedera selepas sebuah kereta api penumpang tergelincir di wilayah Oaxaca, barat daya Mexico, dalam kejadian awal pagi tadi.

Insiden itu berlaku ketika kereta api berkenaan melalui satu selekoh berhampiran bandar kecil Nizanda, menyebabkan beberapa gerabak terkeluar daripada landasan dan sebahagiannya terbalik di tebing curam.

Gambar dari lokasi kejadian memaparkan anggota penyelamat membantu penumpang keluar dari gerabak yang terhumban ke luar landasan, sementara operasi menyelamat masih dijalankan secara intensif.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkata, lima daripada mangsa yang cedera berada dalam keadaan serius, sambil memaklumkan beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk Setiausaha Tentera Laut sedang menuju ke lokasi nahas.

Tentera Laut Mexico memaklumkan, seramai 241 penumpang bersama sembilan kru berada di dalam kereta api tersebut ketika kejadian.

13 maut dan ratusan cedera apabila kereta api tergelincir di negeri Oaxaca, Mexico.

“Daripada 98 mangsa yang cedera, 36 dilaporkan masih menerima rawatan di hospital. Sementara itu, Peguam Negara Mexico mengesahkan siasatan rasmi telah dimulakan bagi mengenal pasti punca kejadian,” lapor BBC.

Kereta api berkenaan merupakan sebahagian daripada perkhidmatan Interoceanic yang menghubungkan pelabuhan Salina Cruz di Lautan Pasifik dengan Coatzacoalcos di Teluk Mexico, laluan strategik yang merentasi Isthmus of Tehuantepec.

Tentera Laut Mexico yang mengendalikan rangkaian kereta api negara memaklumkan tren itu terdiri daripada dua lokomotif dan empat gerabak penumpang.

Gabenor Oaxaca, Salomón Jara Cruz, dalam satu kenyataan menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi tersebut dan berkata kerajaan negeri itu sedang bekerjasama dengan agensi persekutuan bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa dan keluarga terlibat.

Laluan rel Interoceanic itu dirasmikan dua tahun lalu sebagai sebahagian inisiatif kerajaan terdahulu di bawah bekas presiden Andrés Manuel López Obrador untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi selatan Mexico.

Projek berkenaan bertujuan memodenkan rangkaian rel merentasi Isthmus of Tehuantepec dan membangunkan kawasan itu sebagai koridor perdagangan strategik melalui peluasan pelabuhan, sistem rel serta infrastruktur industri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button