JENAYAH & MAHKAMAH

Nahas tiga kenderaan: Suami isteri antara tiga maut di Segamat

SEGAMAT – Perjalanan lima sekeluarga bertukar tragedi apabila tiga daripada mereka termasuk pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 210, Jalan Johor Bahru–Seremban berhampiran Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru, di sini petang tadi.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa yang maut terdiri daripada pemandu van serta dua penumpangnya, manakala pemandu lori kargo dan treler dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Dua lagi penumpang yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Segamat bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila van yang dinaiki lima sekeluarga itu dirempuh sebuah treler ketika menghala ke simpang Taman Golden Hill.

“Akibat pelanggaran tersebut, van berkenaan terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh pula oleh sebuah lori kargo yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.

“Impak rempuhan menyebabkan pemandu van berusia 70-an serta dua penumpang berumur antara 20 hingga 60 tahun maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi penumpang mengalami kecederaan parah,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Tambah beliau, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button