BERITA SEMASA

Pelajar Tingkatan 2 meninggal dunia di sekolah, rebah selepas jalani latihan ragbi

MELAKA – Seorang pelajar Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di Telok Mas dalam daerah Melaka Tengah meninggal dunia selepas dipercayai rebah ketika mengikuti latihan ragbi di sekolahnya, petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6 petang itu, mangsa berusia 14 tahun dilaporkan rebah secara tiba-tiba sewaktu mendengar taklimat jurulatih ketika sesi latihan dihentikan sementara untuk berehat.

Datuk saudara mangsa, Yahya Endut, 64, berkata, dia menerima panggilan memaklumkan kejadian itu sebelum bergegas dari Alor Gajah ke Hospital Melaka.

Menurutnya, mangsa yang dipeliharanya sejak kecil tinggal di asrama sekolah dan tidak pernah mengadu mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Saya dimaklumkan mangsa baharu menjalani latihan kira-kira 15 minit sebelum berehat bersama rakan-rakan.

“Ketika jurulatih sedang memberikan taklimat, dia yang sedang duduk tiba-tiba rebah dan mengalami kesukaran bernafas,” katanya memetik laporan BH Online ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, malam tadi.

Tambahnya, dia masih terkejut dengan kejadian itu kerana mangsa tidak mempunyai sejarah penyakit dan tidak pernah mengadu kurang sihat sebelum ini.

Sementara itu, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan kejadian berkenaan.

“Mangsa adalah pelajar lelaki yang bersekolah di Telok Mas dan dipercayai rebah ketika taklimat selepas latihan ragbi sebelum disahkan meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas ketika dihubungi turut mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung insiden berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button