BERITA SEMASA

17 mangsa berlindung di PPS akibat banjir di Larut, Matang dan Selama

IPOH – Seramai 17 mangsa daripada lapan keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Hampar selepas banjir melanda Kampung Sungai Rotan, Trong, dalam daerah Larut, Matang dan Selama, malam ini.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Larut, Matang dan Selama memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 5.40 petang.

Menurut kenyataan PKOD, pemantauan awal di lokasi mendapati banjir berlaku susulan hujan lebat berterusan melebihi dua jam selain saliran parit kecil yang tersumbat dan gagal menampung kapasiti aliran air.

“Keadaan air di sekitar Kampung Sungai Rotan dilaporkan masih berarus deras dengan paras ketinggian kira-kira 0.5 meter, namun menunjukkan trend menurun.

“Cuaca di kawasan berkenaan dilaporkan mendung pada jam 6.21 petang dan keadaan semasa masih hujan,” menurut kenyataan itu, lapor Bernama.

PKOD memaklumkan tiga anggota bersama sebuah kenderaan Hilux digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan serta membantu operasi di kawasan terjejas.

Menurut kenyataan sama, selepas selesai membuat pemantauan pada jam 7.37 malam, pasukan berkenaan meneruskan operasi ke SK Batu Hampar bagi memasang serta menghantar khemah (C-Tent) untuk kegunaan mangsa banjir di PPS berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama, Mohd Nasrul Menhat, berkata PPS berkenaan mula beroperasi pada jam 8 malam tadi.

“Berikutan kejadian banjir yang berlaku di Kampung Batu 23 dan Kampung Batu 25, Sungai Rotan, Batu Hampar, dimaklumkan bahawa PPS dibuka pada jam 8 malam, 14 Jun 2026 (Ahad),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button