BERITA SEMASA

Hulu Langat ucap tahniah kepada Putrajaya, dakwa bakal Ketua Pembangkang

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini sedikit kecoh apabila Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan (PH) mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Radzi Jidin (PN–Putrajaya) yang didakwa bakal dilantik sebagai Ketua Pembangkang, sambil turut “menzahirkan takziah” kepada penyandang jawatan itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN–Larut).

Ahli parlimen Putrajaya, Radzi Jidin didakwa bakal menggantikan Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang

Ucapan itu dibuat ketika beliau membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi Kementerian Kesihatan di peringkat jawatankuasa, hari ini.

“Saya nak ucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli Parlimen Putrajaya yang khabarnya akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

“Takziah kepada Ahli Parlimen Larut yang dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang. Selamat bertugas Yang Berhormat Putrajaya,” memetik BH online.

Kenyataan itu mencetus reaksi segera daripada beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkannya tidak kena dengan suasana perbahasan RUU Kementerian Kesihatan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau, kemudian menegur Mohd Sany agar tidak berpolitik ketika sesi berbahas berlangsung.

Sebelum itu, tular satu draf dokumen dalaman bertarikh 10 November 2025 yang didakwa daripada kepimpinan BERSATU, mencadangkan supaya Radzi yang juga Naib Presiden parti menggantikan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang bagi meredakan kemelut dalaman yang sedang melanda parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, semalam memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi daripada BERSATU berhubung cadangan pertukaran tersebut.

Difahamkan, satu pertemuan pimpinan tertinggi BERSATU dijadualkan berlangsung malam ini di kediaman Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bukit Damansara.

Pada masa sama, kumpulan penyokong Hamzah dijangka berhimpun di luar kediaman berkenaan.

Kemelut dalaman BERSATU kini menjadi perhatian umum susulan desakan agar perubahan kepimpinan dibuat di peringkat blok pembangkang dalam usaha memulihkan kedudukan parti itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button