POLITIK

Elak provokasi jalanan, PKR Putrajaya gesa rakyat tolak Himpunan #TurunAnwar

PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Putrajaya menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan penganjuran Himpunan #TurunAnwar kerana boleh mencetuskan ketegangan politik dan mengganggu keamanan negara.

Ketua Penerangannya, Mohd Hafiz Osman berkata, demokrasi perlu dipertahankan melalui saluran yang sah, beradab dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, bukan dengan provokasi jalanan.

“Sebarang bentuk perhimpunan yang bersifat provokatif dan bermotifkan tekanan jalanan adalah tidak wajar serta bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan.

“Kami menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh terhadap penganjuran himpunan ini termasuk kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan, di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang bersesuaian termasuk Seksyen 124B Kanun Keseksaan,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan penganjur himpunan bukan sahaja mempertikai kepimpinan Perdana Menteri, tetapi juga mengandungi dakwaan berat terhadap institusi kerajaan termasuk sistem kehakiman, penjawat awam dan Parlimen.

“Usaha untuk menganjurkan perhimpunan sedemikian adalah satu bentuk hasutan yang boleh menjejaskan kestabilan serta menyemai kebencian terhadap kerajaan,” katanya lagi.

Terdahulu, PKR Putrajaya membuat laporan polis berhubung penganjuran Himpunan #TurunAnwar yang disifatkan berunsur hasutan serta berpotensi menggugat ketenteraman awam dan kestabilan negara.

Laporan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Cabang PKR Putrajaya bersama Mohd Hafiz dan Ketua Biro Tugas Khas, Mohd Noor Arizam Arep di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Laporan tersebut merujuk kepada kenyataan portal Harakahdaily bertarikh 10 Jun lalu yang memetik Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden merangkap Ahli Parlimen Alor Setar sebagai mengumumkan penganjuran perhimpunan itu kononnya atas nama suara rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button