BERITA SEMASA

100 pekerja, wartawan Utusan Malaysia-Kosmo bakal diberhentikan

KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 pekerja dan wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo yang dimiliki Media Mulia Sdn Bhd (Media Mulia) bakal diberhentikan kerja apabila syarikat berkenaan merombak semula model perniagaan dengan alasan bagi menghadapi perubahan besar industri media.

Ketua Pegawai Kewangan yang juga Pengarah Media Mulia, Abd Wahid Idris dalam kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini berkata, langkah itu diambil susulan perubahan lanskap industri media yang lebih memberi tumpuan kepada platform digital.

wahid
Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia Sdn Bhd, Abd Wahid Idris.

Katanya, langkah rasionalisasi ini akan melibatkan hampir 100 kakitangan dalam Program Cuti Berbayar (Paid Leave Programme).

“Program ini bertujuan menilai semula keperluan operasi, penggunaan sumber manusia dan keupayaan syarikat untuk memberi penekanan kepada kandungan digital, platform penyampaian berita yang lebih berkualiti dan efektif serta kemampanan perniagaan syarikat untuk masa hadapan.

“Media Mulia ingin menegaskan bahawa langkah rasionalisasi ini akan terus mengekalkan identiti dan legasi jenama Utusan Malaysia serta Kosmo!.

“Keunikan kandungan, identiti editorial, pendekatan pemberitaan dan kredibiliti kedua-dua jenama ini akan terus dipelihara,” kata Abd Wahid melalui kenyataan tersebut.

Menurut Abd Wahid, walaupun rasionalisasi itu dilakukan, namun pengurusan sedia ada telah menyelamatkan kedua-dua jenama ini setelah pemilik terdahulu menamatkan operasi pada 2019.

Untuk rekod, Abd Wahid juga adalah individu yang terlibat dalam penamatan operasi syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, iaitu syarikat akhbar Melayu tertua di negara ini pada tahun 2019 yang menyebabkan sekitar 800 terutama wartawan hilang pekerjaan tanpa sebarang pampasan.

Ketika itu Utusan Melayu adalah penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Kini Abd Wahid sekali lagi diberi kepercayaan oleh pemegang saham Media Mulia untuk melakukan tindakan yang seakan-akan menyamai peristiwa pada tahun 2019 di mana para pekerja diberi notis pada pukul 2 petang dan perlu mengosongkan pejabat menjelang pukul 6 petang.

Abd Wahid berkata, rasionalisasi itu perlu dilakukan demi penyesuaian strategik bagi memastikan kelangsungan kedua-dua jenama dan organisasi supaya tidak berulang nasib sama seperti sebelumnya.

“Syarikat tetap komited menjaga kebajikan serta hak kakitangan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Langkah transformasi ini perlu dilaksanakan bagi menjamin masa depan jenama Utusan Malaysia dan Kosmo!.

“Fokus akan terus diberikan dalam menghasilkan konten editorial yang lebih berkualiti, berwibawa dan dipercayai,” katanya.

Menurut sumber dalaman Media Mulia, program rasionalisasi itu bermula dengan program cuti berbayar selama tiga bulan dipercayai bermula pada 11 November ini.

Selepas tempoh cuti itu mereka mungkin akan diberhentikan (retrenchment) atau skim pemberhentian bersama (mutual separation scheme).

Jika ia menjadi kenyataan maka pekerja-pekerja akan kehilangan mata pencarian untuk menyara keluarga menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button