BERITA SEMASA

Johor tawar gaji kompetitif, mahu tarik pulang bakat tempatan – Onn Hafiz

KUALA LUMPUR – Johor berusaha menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lebih kompetitif bagi menarik semula tenaga kerja mahir tempatan yang berhijrah ke Singapura, seiring kemasukan pelaburan bernilai tinggi ke negeri itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kemasukan pelaburan baharu meningkatkan persaingan mendapatkan tenaga kerja berkemahiran, sekali gus membolehkan syarikat menawarkan gaji premium kepada bakat tempatan.

Beliau memberi contoh EcoCeres, sebuah syarikat di Johor yang memproses minyak masak terpakai menjadi bahan api penerbangan mampan (SAF) dan menggaji ramai jurutera tempatan dengan tawaran gaji kompetitif.

“Banyak anak Johor yang sebelum ini bekerja di luar kini pulang berkhidmat di Johor.

“Insya-Allah, dengan kemahiran yang tepat, anak muda mempunyai masa depan kerjaya yang cerah di Johor,” katanya ketika sesi dialog sempena program iFUTURE 2026 – Special Series bertemakan Towards Futuristic Nation: Leadership, Innovation and Transformation anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri menerusi Johor Talent Development Council (JTDC) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan kementerian berkaitan bagi memastikan kemahiran graduan memenuhi keperluan industri, khususnya sektor pelaburan bernilai tinggi di Johor dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menurutnya, walaupun majoriti graduan universiti tempatan menerima tawaran pekerjaan, masih terdapat jurang kemahiran yang menyebabkan mereka tidak dapat diserap terus ke alam pekerjaan.

Katanya, latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) perlu diperkukuh, terutama dalam aspek komunikasi yang sering menjadi antara kelemahan graduan.

Beliau turut menegaskan kepentingan kerajaan dan kementerian menerima maklum balas industri secara terbuka bagi mengenal pasti kelemahan sistem pendidikan serta mengambil langkah pembetulan.

Mengulas prestasi Malaysia dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), Onn Hafiz berkata, kedudukan negara merosot daripada tangga ke-48 pada 2018 kepada tangga ke-62, berdasarkan angka yang disebutnya dalam sesi berkenaan.

Menurutnya, penilaian antarabangsa itu mengukur keupayaan pelajar mengaplikasikan kemahiran membaca, matematik dan sains dalam situasi kehidupan sebenar.

“Kita tidak boleh mengamalkan sindrom penafian atau menyapu masalah ke bawah permaidani. Kita mesti berani menerima hakikat untuk membetulkan kelemahan ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha merapatkan jurang kemahiran dan meningkatkan kualiti pendidikan penting bagi memastikan graduan tempatan bersedia memenuhi keperluan industri serta merebut peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Sebelum ini, sasaran gaji permulaan RM4,500 bagi graduan berkemahiran teknologi turut dibangkitkan dalam sesi dialog itu sebagai antara usaha Johor meningkatkan daya tarikan pasaran kerjanya berbanding Singapura.

Onn Hafiz berkata, pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri akan menjadi faktor penting untuk memastikan anak muda tempatan mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Johor, khususnya menerusi pelaburan di JS-SEZ.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button