Op Taring Chiller: Rampasan produk sejuk beku cecah RM21.51 juta
KUALA LUMPUR – Nilai rampasan produk sejuk beku berjumlah RM21.51 juta direkodkan menerusi Op Taring Chiller dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, dengan seramai 65 individu ditahan dalam 13 serbuan.
Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, majoriti individu yang ditahan terdiri daripada warga asing.
Katanya, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 63 lelaki warga asing berasal dari Myanmar, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Indonesia.
“Warga Myanmar mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 30 orang, diikuti Bangladesh (13), Cina tempatan (10), Nepal (enam), Pakistan (empat) dan Indonesia (dua).
“Turut ditahan ialah dua wanita warga tempatan. Berdasarkan statistik operasi, Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu lima kes, diikuti Johor dengan empat kes, manakala Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing merekodkan dua kes,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Menurut beliau, daripada keseluruhan nilai rampasan, produk sejuk beku menyumbang RM20.79 juta, manakala baki RM719,160 membabitkan pelbagai peralatan pemprosesan.
Antara peralatan yang dirampas termasuk mesin penimbang, peti sejuk, mesin pemotong dan kenderaan.
Beliau berkata, operasi itu turut mengesan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, pencapaian operasi bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu yang merekodkan hanya lima kes, dua tangkapan dan nilai rampasan sebanyak RM1.68 juta.
Jelasnya, peningkatan jumlah kes yang dikesan, tangkapan dan nilai rampasan itu mencerminkan keberkesanan usaha penguatkuasaan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang.
“Secara keseluruhannya, pencapaian Op Taring Chiller bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan pengendalian dan pemprosesan produk sejuk beku serta kesalahan berkaitan imigresen,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






