JENAYAH & MAHKAMAH

Polis siasat wanita didakwa tolak kanak-kanak, pukul kepala budak perempuan di pusat beli-belah

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita yang didakwa menolak seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga terjatuh serta memukul kepala adik perempuannya yang berusia dua tahun di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam, sedang disiasat polis.

Kejadian kira-kira pukul 3 petang itu dilaporkan bapa kedua-dua kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun pada pukul 7.39 malam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, berdasarkan laporan, wanita terbabit secara tiba-tiba menolak anak lelaki pengadu dari belakang sehingga terjatuh ketika mereka sedang berjalan bersama.

“Wanita sama turut didakwa memukul bahagian belakang kepala anak perempuan pengadu yang berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi 35 saat yang tular di media sosial memaparkan pertengkaran antara dua individu di premis berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Beliau berkata, polis memandang serius insiden berkenaan dan sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta melengkapkan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan tuduhan atau berkongsi maklumat yang belum disahkan kerana boleh menjejaskan siasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi (03-2600 2222) atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button