Rakyat Malaysia di Yaman diminta bersedia tinggalkan negara
KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman dinasihatkan supaya membuat persiapan untuk meninggalkan negara itu secara sukarela sementara penerbangan komersial masih beroperasi, susulan keadaan keselamatan yang semakin tidak menentu.
Kedutaan Besar Malaysia (KBM) di Muscat, Oman memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan keselamatan di negara itu berikutan peningkatan ketegangan dan konflik bersenjata yang berterusan di beberapa kawasan.
Menerusi notis yang dimuat naik di Facebook, kedutaan menggesa rakyat Malaysia supaya mengutamakan keselamatan diri serta merancang perjalanan keluar dengan teliti, termasuk memastikan laluan perjalanan selamat, pengangkutan tersedia dan dokumen perjalanan lengkap.
Mereka turut diminta menyemak status penerbangan masing-masing, mengelakkan kawasan konflik, mengikuti perkembangan keselamatan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Dalam masa sama, rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan sebarang perjalanan ke Yaman sehingga keadaan keselamatan di negara itu kembali stabil.
Rakyat Malaysia yang masih berada di Yaman dan belum mendaftar dengan kedutaan diminta berbuat demikian menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my atau memuat turun aplikasi MyWorldAlert.
“Sebarang perkembangan dan maklumat penting akan disalurkan melalui saluran komunikasi rasmi KBM di Muscat.
“Bagi mendapatkan bantuan atau membuat pertanyaan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian kecemasan kedutaan di +968 7159 2388 atau e-mel mwmuscat@kln.gov.my,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








