Belum terima makluman rasmi, Hamzah masih Ketua Pembangkang
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih kekal sebagai sebagai ketua pembangkang di Parlimen kerana Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada blok pembangkang mengenai sebarang pertukaran.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Ramli Mohd Nor berkata, sebarang pemakluman mengenai kekosongan jawatan itu perlu dilakukan secara ‘hitam putih’.
“Setakat ini, walaupun saya di sini dan soalan ini ditimbulkan ketika saya mempengerusikan sidang, ia membabitkan kepada struktur asas Dewan Rakyat iaitu (jawatan) ketua pembangkang.
“Setakat ini, saya percaya timbalan speaker seorang lagi pun belum menerima apa-apa arahan. Saya percaya, belum ada lagi hitam putih yang diusulkan daripada pihak sebelah kiri atau pembangkang untuk menyatakan kekosongan (jawatan ketua pembangkang) itu.
“Ini (pemakluman kekosongan) perlu secara hitam putih dalam perspektif perundangan dalam Dewan Rakyat,” katanya ketika mempengerusikan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, SN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang, selepas beliau dipecat keahliannya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini.
Bagaimanapun, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) kemudian bangkit mempertikai niat di sebalik soalan yang dikemuka Ahli Parlimen DAP itu dan menggesa beliau supaya tidak mencampuri urusan parti lain.
Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan PAS akan mengambil alih jawatan sebagai ketua pembangkang Dewan Rakyat, yang mana nama Ahli Parlimen berkenaan akan dimaklumkan kemudian.
Beliau berkata, perkara berhubung jawatan ketua pembangkang baharu itu dipersetujui parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) dalam Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN, semalam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








